Thursday, May 22, 2008

UNTUK APA MAHATHIR KECOH?

Kecoh seantero nusantara, Tun Mahathir keluar UMNO. Macam besar sangat berita, bekas Perdana Menteri tersohor ini keluar parti sehingga semua akhbar memperkatakannya dan diulas oleh beberapa tokoh, baik dari kalangan pembangkang atau dari kalangan BN, terutama dari UMNO. Jika Tun Mahathir ada jawatan dalam UMNO, mungkin gempar juga, tetapi sejak bergelar veteran ini, rasanya tiada apa-apa yang boleh menggugat kepimpinan Pak Lah.
.
UMNO hancur dahulu, sehingga terbubar akibat tidak sah berdaftar, disebabkan oleh Tun Mahathir. UMNO Baru yang ditubuhkan semula oleh Tun Mahathir, mendapat tentangan dalaman UMNO sendiri sehingga tertubuhnya Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh. Veteran UMNO seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn yang merupakan bekas pejuang UMNO dulu merajuk juga disebabkan oleh Tun Mahathir.
.
Perjuangan UMNO yang dipimpin oleh Tun Mahathir sangat berlainan daripada UMNO yang asal yang ditubuhkan oleh Dato Onn Jaafar kerana telah diakui sendiri oleh Tan Sri Aziz Tapa, Veteran UMNO bahawa perjuangan UMNO sekarang adalah berlainan kerana mementingkan diri sendiri keluarga dan sahabat handai. Maka tidak hairanlah kepimpinan UMNO sentiasa berkecamuk dan tidak tentu arah sejak penubuhan UMNO Baru ini.
.
Para Timbalan Perdana Menteri seperti Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar adalah di antara beberapa orang mangsa kejelekan politik Tun Mahathir yang telah merosakkan masa depan politik mereka. Tun Mahathir sendiri yang menyebabkan rakyat sudah mula berani bangkit memperjuangkan reformasi dan meningkatkan penggunaan internet untuk berita alternatif sehingga ke saat ini dan menyebabkan 5 kerajaan negeri termasuk wilayah tumbang ke tangan pembangkang.
.
Kekecohan Tun Mahathir ini sebenarnya tidak menggugat kepimpinan BN buat masa ini kerana kesemua ini berlaku adalah kerana warisan beliau juga terutama dalam penggunaan semua badan kerajaan dan kehakiman. Ianya tampak lebih jelas dalam laporan Suruhanjaya Diraja dalam siasatan klip video VK Lingam. Maknanya, Tun Mahathir ingin menutup cerita ini dengan perlakuan keluar parti. Ini belum lagi keluar beberapa kes lain yang banyak membabitkan beliau sehingga fungsi dan sistem kestabilan dalam pengurusan negara ini rosak dengan amat teruk sekali.

No comments: