Jika melihat kepada isu video VK Lingam dimana laporan secara rasmi telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Diraja, soal pengaruh mempengaruhi adalah suatu yang benar-benar telah biasa diamalkan dalam perundangan negara dan kuasa-kuasa pemerintahan negara sejak sekian lama di bawah pemerintahan BN yang ditunjangi UMNO. Dengan hanya satu laporan ini, terdapat banyak lagi cerita yang boleh berkait rapat di antara satu sama lain.
.
Suruhanjaya mengenai salah laku Polis jika dapat dijalankan, pasti akan lebih menakutkan kepada rakyat jika ianya dimulakan dengan sebenar-benar bebas dalam penyediaan laporannya. Malangnya sudah lama perkara penubuhannya ingin direalisasikan, namun cadangan tinggal cadangan dan bermungkinan besar ada pihak yang mempengaruhi isu penubuhannya dimana akan mengaitkan lebih ramai nama besar dalam negara.
.
Soal perlantikan hakim menjadi isu hangat apabila pemerintah BN membuka pekungnya sendiri dalam mengingatkan semula pemecatan hakim-hakim besar. Betapa hebatnya dalam sejarah pemerintahan BN dimana badan eksekutif dengan mudah mempengaruhi sesuka hati segala perlantikan dan memecat hakim. Dengan itu amat jelaslah bahawa segala kes mahkamah yang melibatkan ahli politik akan dipengaruhi oleh pemerintah BN selama ini sepertimana yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar.
.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah satu-satunya suruhanjaya yang tidak berapa bebas dan mudah dipengaruhi oleh pemerintah BN. Pengendalian pilihanraya oleh SPR masih banyak diragui dan dicurigai. Berbagai laporan polis dan pembongkaran telah dibuat oleh parti pembangkang terhadap SPR namun tiada tindakan konkrit dan jelas dilaksanakan untuk merubah segala perlaksanaan dan prosedur mereka.
.
Isu dakwat yang sepatutnya digunakan pada pilihanraya baru-baru ini, terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir. SPR beralasan bahawa kabinet mengarahkan pembatalan tersebut namun jika diteliti pada ketika itu, kabinet sudah pun dibubarkan, bagaimana pula ada arahan lagi boleh dikeluarkan. Pak Lah sendiri menyatakan, pada ketika itu, kerajaan (yang telah dibubarkan) hanya menyatakan pandangan dan bukan arahan. Adakah benar SPR ini benar-benar bebas atau hanya merupakan badan tunggangan pemerintah BN?
.
Salah satu sebab ialah hanya kerana mendengar ada dakwat yang sama dibeli oleh pihak tertentu untuk mengganggu proses pilihanraya. Datuk Syed Hamid sendiri menyatakan dalam Dewan Rakyat bahawa polis telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan berikutan laporan kononnya dakwat itu telah dibawa masuk oleh beberapa individu dari Thailand dan Polis telah menemubual pengadu serta saksi-saksi, didapati tiada sebarang bukti menunjukkan dakwat tersebut dibawa dari Thailand.
.
No comments:
Post a Comment