Tuesday, May 6, 2008

MELAYU MENJADI ISU MUSLIHAT UMNO

Isu Melayu menjadi bahan kepentingan politik UMNO dalam meraih simpati selepas kemerosotan sokongan rakyat dalam pilihanraya UMNO yang lalu. Perbincangan dan perdebatan menjadi sebegitu hangat sehingga tertubuhnya Kongres Permuafakatan Melayu dengan sokongan keanggotaan badan-badan NGO melayu dan parti politik.

Nampaknya seperti baik dan berjalan lancar, tetapi oleh kerana gerakan ini yang didalangi oleh politik UMNO yang mempunyai kepentingan dan meraih sokongan yang dapat mengekalkan kuasa penyelewengan yang teruk di Malaysia ini oleh mereka, menyebabkan ianya terus diragui dan dicurigai kepentingannya kepada rakyat biasa.

Orang bukan Melayu sudah mengetahui sejarah Malaysia ini dan tidak ada siapa dapat menafikan perjuangan bangsa Melayu untuk mencapai kemerdekaan dan kemajuan sehingga 50 tahun. Masalahnya orang-orang UMNO sendiri yang panik dan takut dengan perubahan orang Melayu dengan keterbukaan dan tidak ada perkauman seperti dasar dalam Pakatan Rakyat.

Mengapa bersungguh-sungguh pula memahami dan mengenang nasib bangsa Melayu setelah UMNO berasa kalah dalam pilihanraya yang lalu? Jika UMNO menang pula, adakah agenda perjuangan untuk Melayu akan diteruskan dengan keadaan Bahasa Melayu terus terpinggir dan orang Melayu terus termiskin dengan segala kerakusan mereka memiliki harta yang haram?

Perjuangan PAS dalam menyatu padukan rakyat Malaysia dalam mottonya "MEMBANGUN BERSAMA ISLAM" adalah pilihan yang terbaik. Jika berjuang dengan politik perkauman, keadaan di Malaysia ini akan terus berada curiga mencurigai antara satu kaum dengan satu kaum yang lain. Maka ISLAM mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Rakyat bukan ISLAM yang menyertai Kelab Penyokong PAS adalah satu contoh di mana orang bukan Islam menyokong pimpinan Ulama' dalam menyelamatkan negara daripada penindasan, rasuah dan ketidak telusan dalam pemerintahan sesebuah negara, bukan pimpinan orang yang tidak patuh pada agama dan mementingkan diri sendiri.

Soal Melayu, Melayu dan Melayu hanya akan menyebabkan kaum bukan Melayu mencurigai kaum Melayu dan hanya akan mencetuskan konflik berpanjangan antara kaum serta merugikan kemajuan negara akibat perkauman. UMNO sendiri meminggirkan agama sehingga rakyat yang beragama Islam tidak berpegang teguh dengan agama sendiri dan kemudian menyebabkan masalah peribadi terus menghadapi krisis seperti yang berlaku kepada khalayak di masa kini.

No comments: