Monday, July 28, 2008

MUZAKARAH SATU MANIPULASI

Sebelum ini diperkatakan bahawa UMNO dan BN selalu memanipulasi isu dalam negara terutama terhadap pembangkang atau para penentang dikalangan mereka. Sejak zaman kepimpinan Mahathir, soal manipulasi amat-amat berleluasa diamalkan sehingga mereka sudah menjadi kesedapan dan seronok sehingga kelihatan sama seperti para mat-mat gian yang memang sentiasa gian sekian lama menghisap dadah atau menyuntik dadah di bawah jambatan.

Sebab itu PAS sebagai satu wadah perjuangan dakwah Islam kepada semua, cuba mencari jalan demi jalan untuk memperbetulkan pegangan aqidah UMNO yang telah rosak akibat jauhnya perjuangan daripada perjuangan melalui IMAN dan ISLAM itu. UMNO walaupun kelihatan kepimpinan semuanya dikalangan orang Islam namun segala tindak-tanduk dan perilaku mereka tidak menggambarkan langsung pengamalan Islam sebenar atau sekurang-kurangnya pengamalan adab orang Melayu jati yang bersopan santun dan bertolak ansur.

Soal muzakarah atau muqabalah tidak menjadi persoalan, yang patut diketahui rakyat bahawa PAS sendiri telah lama ingin duduk berbincang dengan UMNO namun mereka hanya pandang sebelah mata sahaja. Al-maklum sajalah, UMNO ini begitu kuat hampir 50 tahun di Malaysia ini, dan boleh dikatakan antara parti orang Melayu yang didukungi amat kuat dengan 3 juta keahlian tanpa tentangan yang kuat dari kalangan rakyat golongan atasan maupun bawahan. PAS langsung tidak dapat menggugat kerana dianggap parti politik kecil-kecilan.

Tapi apabila kelihatan rakyat mula bangkit secara berskala besar sehingga BN hampir menghadapi kekalahan besar , mulalah UMNO sebagai pemimpin BN, gelabah tidak tentu arah seperti orang yang meroyan ataupun gila talak. Isu perkauman dibesar-besarkan dan cuba digunakan agar rakyat huru-hara dan bergaduh sesama kaum sepertimana mereka telah lakukan sebelum 13 Mei 1969 dulu. Mereka terlupa agaknya, rakyat Malaysia semua dah cerdik pandai belaka dan tidak mudah ditipu daya. Siapa nak mempertahankan Tuan Melayu yang penuh dengan KORUPSI dan PENZALIM yang amat besar dikalangan pimpinan UMNO??

Sekarang barulah UMNO nampak PAS sebab sokongan orang Melayu telah beralih arah kepada perjuangan Islam dan tidak bersifat perkauman. Dari cakap-cakap orang kuat mereka dikalangan UMNO seolah-olah merekalah yang kuat ideanya untuk bermuzakarah sedangkan hakikatnya semua orang tahu. Tak payahnya hendak kempen ketuanan Melayu sedangkan orang Melayu seperti Anwar dan mereka-mereka dalam tahanan ISA yang majoritinya Melayu ditekan habis-habisan demi kepentingan politik mereka.

Pak Lah dan rakan-rakan UMNO semua, barulah sibuk hendak membuka ruang kononnya tanda ingin penyatuan Melayu dan Islam. Ramailah puak-puak UMNO yang menyatakan kesediaan untuk berkongsi kuasalah dan sebagainya tanda IKHLAS yang akan MAKAN ORANG kemudian hari nanti. Ini disebabkan, UMNO sudah lama terbiasa dengan MANIPULASI yang akhirnya akan menguntungkan mereka.

Sunday, July 20, 2008

MANIPULASI KERJA BN DAN UMNO SEKIAN LAMA

Kelmarin saudara Anwar telah membangkitkan isu manipulasi DNA jika diberikan sampel kepada pihak hospital. Soal manipulasi ini sebenarnya berkait rapat dengan pelbagai perkara politik yang dijunjung oleh BN sejak sebelum merdeka dan selepas merdeka. Perjuangan kuat para pejuang sebenar kemerdekaan telah dimanipulasi oleh UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abd Rahman dengan baik sekali sehingga tidak kelihatan para-para pejuang tersebut. Kelihatan Tunku lah yang membawa usaha kemerdekaan sedangkan hakikat sebenarnya tidaklah begitu.

Manipulasi isu ekonomi juga digerakkan oleh UMNO sehingga sejarah hitam tercatat kerana pergaduhan sesama rakyat antara kaum Cina dan Melayu sehingga Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Kelihatan pada ketika itu usaha untuk seimbangkan jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera menampakkan hasil, namun semakin lama semakin rosak dasar berkenaan akibat salah guna kebaikan dasar tersebut oleh UMNO dan BN dimana yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin terpinggir.

UMNO lama sebenarnya sudah lama terkubur, kerana kepandaian Dr Mahathir ketika itu memanipulasikan isu tentangan kuat ahli-ahli UMNO terhadap beliau sehingga UMNO asal diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada tahun 1988. Akhirnya tertubuhlah UMNO Baru pimpinan Dr Mahathir yang mempunyai dasar perjuangan yang baru iaitu seperti memperlihatkan perjuangan KEKAYAAN UNTUK DIRI SENDIRI serta KELUARGA DAN MAKAN DUIT RAKYAT. Makan punya makan, biar sampai kenyang, rakyat melarat jangan dipedulikan, yang penting nampak Melayu sudah kaya, kaya dengan pengkhianat bangsa sendiri.

Friday, July 18, 2008

ISU DALAMAN UMNO

Dalam kesibukan rakyat yang prihatin memperkatakan isu debat dan tangkapan Anwar secara kasar, isu dalaman UMNO yang bergolak tidak dapat disembunyikan lagi dengan pelbagai perkara yang diketahui umum. Beberapa perkara perlu diambil perhatian yang serius tentang apa yang diperkatakan oleh kedua-dua bekas tokoh UMNO yang veteran seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Sanusi Junid dalam membetulkan UMNO ke landasan perjuangan yang sebenar.

Pak Lah cuba mengurangkan kehangatan dalam UMNO dengan membuat jaminan secara rasmi untuk peralihan kuasa PM kepada orang nombor 2 pada tahun 2010. Walaubagaimanapun bukan semua ahli Majlis Tertinggi UMNO bersetuju dengan perkara ini kerana atas kesedaran bahawa parti ini perlu juga pemilihan dari peringkat akar-umbi bukan seperti mewariskan tanah Felda kepada anak peneroka. Muhyuddin adalah antara yang menentang kepada isu ini, manakala Tengku Razaleigh telah mengkritik secara terbuka.

Menurut Sanusi, usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri sepertimana yang dilakukan oleh ketua pembangkang di Parlimen hendaklah dibawa oleh seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, ke dalam parti itu terhadap Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tahun 2004 hingga tahun 2008 katanya, Pak Lah telah berjaya merosakkan imejnya dari seorang PM yang paling popular dalam sejarah Malaysia kepada PM yang paling dibenci oleh rakyat kerana didakwa lebih bergantung nasihat kepada anak, menantu dan rakan-rakan menantunya.

Tun Mahathir pula mengulas, bahawa Muhyiddin mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno sekiranya pemilihan bagi jawatan itu dibuat secara terbuka. Beliau berpendapat, kini wujud tanggapan umum yang melihat Dato' Seri Najib Razak sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak pernah mempunyai pendirian sendiri. "Dia (Najib) hanya cakap, selalu cakap, saya sokong, saya sokong, saya terharu. Tetapi dia tidak pernah sebut apa-apa mengenai hasrat rakyat terhadapnya atau bagaimana dia menghormati mereka," kata Dr Mahathir selepas merasmikan Pejabat Pentadbiran dan Biro Pengaduan Awam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Kuala Lumpur.

Tengku Razaleigh yang kelihatan lebih hampir dalam membaiki dasar perjuangan UMNO sekarang ini yang dipimpin oleh Pak Lah, telah menyatakan bahawa harga minyak boleh diturunkan, selepas beberapa hari Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek mempertahankan Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam keputusan menaikan harga minyak secara mendadak. Beliau merupakan antara mereka yang mahukan perubahan kepimpinan parti sejak pilihan raya umum lalu dan menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden kali ini.

Thursday, July 17, 2008

TINDAKAN TIDAK BERTAMADUN MEROSAKKAN IMEJ POLIS

Dalam menangani isu Anwar ini, kelihatan pemerintah BN memperlakukan tindakan yang tidak bertamadun dan tiada peri kemanusiaan langsung. Lihat sebelum ini seorang tahanan ISA tertahan amat lama untuk keluar dari penjara di Kamunting, menziarahi anaknya yang sakit kuat sebelum meninggal tanpa ayah disisi akibat tindakan tidak bertamadun pihak Polis dan Mahkamah. Jika Anwar yang boleh dikatakan seorang yang terkenal serta pejuang politik dan dikelilingi oleh penyokong pun tidak dihormati haknya inikan pula rakyat biasa yang tiada siapa pun yang kenal.

Penangkapan Anwar oleh sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket dari Bahagian Siasatan Khas, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya kelihatan bertindak kasar seolah-olah beliau seorang penjenayah besar. Beliau yang dibawa oleh kereta polis bercermin gelap meluru ke IPK Kuala Lumpur dan tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari (masa sebelum tamat tempoh waran tangkapan jam 2.00 petang) dengan dikawal oleh konvoi 15 buah kenderaan.

Menurut tokoh utama DAP Lim Kit Siang, katanya "Polis menerima satu 'mata lebam' yang dicipta mereka sendiri dengan cara penangkapan Anwar yang sangat provokatif, tidak profesional dan tidak boleh dipertahankan menggunakan komando bertopeng pada 12.55 tengah hari - sewaktu bekas timbalan perdana menteri itu telah berjanji akan melapor diri kepada polis jam 2 petang,". Menurutnya lagi bahawa tindakan polis menangkap Anwar sedemikian mencemarkan imej pasukan tersebut.

Kenyataan bodoh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Bakri Mohd Zinin, bahawa Anwar tidak ditangkap di dalam rumahnya kerana ia boleh menimbulkan kekecohan. Beliau juga berkata bahawa polis bimbang Anwar tidak hadir di IPK Kuala Lumpur pada jam 2 petang dan oleh itu memutuskan untuk menahan beliau kerana kami dimaklumkan bah awa selepas Anwar meninggalkan ibupejabat BPR di Putrajaya, beliau telah mengubah laluannya dan menuju ke rumahnya di (Bukit) Segambut.

Peguam Anwar, N Sankara Nair, memberitahu beberapa minit sebelum beliau ditahan, pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira telah menelefon beliau bertanyakan sama ada akan datang atau tidak, dan dijawab akan berada di sana tepat jam 2 petang. Menurutnya jika Anwar tidak hadir pada tepat jam 2 petang itu, maka mestilah difahami mengapa beliau perlu ditahan. Pihak polis telah melanggar kepercayaan dan keyakinan Sankara dan anak guamnya sebelum ini terhadap mereka. Ketika penahanan secara kepungan, mereka tidak menunjukkan sebarang waran tangkap dan terus dibawa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda yang bercermin gelap.

Selepas Anwar memberi keterangan kepada Polis selama 6 jam, 10 buah kenderaan Polis mengiringi Anwar ke Hospital Kuala Lumpur dari ibu pejabat Polis itu pada jam 8.35 malam dan sampai kira-kira 10 minit kemudian dan dimasukkan ke wad diraja dengan kawalan kira-kira 40 anggota polis untuk rawatan biasa. Menurut Anwar selepas dibebaskan dengan ikat jamin, beliau menyatakan telah ditelanjangkan sewaktu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan seluruh badan beliau diperiksa, termasuk bahagian sulitnya.

Anwar juga menyatakan bahawa beliau enggan memberikan sampel darahnya untuk ujian DNA sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut atas nasihat peguam dan doktor. Beliau memberikan beberapa alasan atas nasihat peguam dan pakar-pakar DNA dalam dan luar negara. Pertama, simpanan DNA memang ada dalam tangan polis. Kedua, yang dituduh dalam simpanan polis. Beliau mempersoalkan apa keperluan DNA daripadanya sedangkan simpanan DNA beliau yang diambil secara paksa pada 1999 masih ada dalam simpanan polis oleh HKL atas arahan Musa Hassan, waktu itu seorang pegawai penyiasat kesnya.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, yang juga ahli Parlimen Bachok di Parlimen, berkata parti ini mengambil pendirian menolak sebarang tuduhan yang berbentuk andaian dan spekulasi. Begitu juga dengan penggunaan DNA yang pada bila-bila masa boleh dimanipulasi, diada-adakan dan ditokok tambah bagi menafikan keadilan yang sebenar. Anwar berkata pihak polis seolah-olah menunjukkan kesungguhan yang luar biasa menjalankan siasatan terhadap dirinya berkaitan laporan polis yang dibuat bekas pembantu beliau Mohamad Saiful Bukhari Azlan tetapi tidak dalam kes Altantuya.

Berikut surat terbuka sokongan tokoh-tokoh Islam seluruh dunia kepada Anwar :

http://www.islamicamagazine.com/general/Open-Letter-Concerning-Anwar-Ibrahim.html

Wednesday, July 16, 2008

PENGGUNAAN BERLELUASA JENTERA KERAJAAN OLEH BN

Memang amat menghairankan selepas kemenangan tipis BN pada pilihanraya yang lalu, makin bertambah pula, kepimpinan negara menggunakan jentera kerajaan sewenang-wenangnya dalam mengganggu gugat kecemerlangan Pakatan Rakyat. Memang lama diketahui seperti KEMAS adalah penggerak BN dalam meracuni secara halus aktivitinya kepada rakyat, bukan untuk menjalankan aktiviti yang sebenarnya kepada penduduk setempat.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang dipimpin oleh Tan Sri Dato' Muhammad bin Muhd Taib yang mempunyai tugas yang sebegitu banyak, juga dipergunakan segala peruntukan kerajaan dalam mengganggu pentadbiran kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat dalam isu perlantikan Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung, di mana ditubuhkan satu JKKK Persekutuan yang kononnya akan menjadi saluran terus peruntukan kerajaan.

Suruhanjaya Pilihanraya adalah satu-satunya badan yang dipergunakan dengan sebaik-baiknya dalam pengekalan kuasa kerana dalam 20 tahun kebelakangan ini, badan ini menjadi penipu paling baik dalam menghalalkan kemenangan BN walaupun akhirnya kekuatan rakyat dapat menafikan 2/3 kuasa BN di Parlimen pada tahun 2008. Semua kes petisyen yang dikemukakan di Mahkamah, tiada yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat walaupun dengan segala bukti yang cukup kuat untuk membatalkan kemenangan BN di kawasan terbabit.

Pengekalan Musa Hassan dan Gani Patail dalam mengepalai jentera kerajaan terpenting adalah untuk mengekalkan dan memperkuatkan lagi kuasa pemerintahan yang zalim lagi tidak berperi kemanusiaan di negara ini. Polis dan Jabatan Peguam Negara dipergunakan seluas-luasnya bagi menyelamatkan beberapa isu seperti Klip Video Lingam, Akuan Bersumpah Raja Petra, Akuan Bersumpah Balasundram dan yang lebih hebat adalah Laporan Polis oleh Datuk Seri Anwar kepada kedua-dua lanun ini.

Tekanan sehebat-hebatnya dikenakan ke atas Balasundram, Raja Petra dan Anwar Ibrahim bagi menutup kesalahan kedua penyangak ini, namun setakat ini mereka tetap dengan pendirian mereka terhadap apa yang mereka lakukan. Memang menghairankan apabila apa yang dilaporkan tidak diambil tindakan yang sehebatnya sepertimana laporan yang hanya berkenaan kes liwat sehingga tertangkapnya Datuk Seri Anwar di tengah-tengah jalan oleh sepasukan unit komando Polis yang bertopeng yang mengingatkan kembali perkara yang sama sepertimana berlaku pada tahun 1998.

Saturday, July 12, 2008

KUASA MEMANG KEGILAAN UMNO

Dalam apa jua perkara yang utama sekali dalam kehidupan adalah iman dan Islam. Soal kuasa dalam UMNO adalah agenda utama perjuangan mereka. Tidak kiralah apa nak jadi, jadilah, kalau perlu memalukan atau menjatuhkan cara kasar, tidak kira apa asalkan dapat kuasa tersebut. Kalau pilihanraya, sekian lama, UMNO dan BN terus-terusan menipu dan membuat pengkhianatan kepada rakyat. Lihat sahaja dalam kes petisyen Badrul Hisham menentang Khairy Jamaluddin, amat menghairankan dan memalukan badan kehakiman itu sendiri.

Untuk kekalkan kuasa, orang yang menjadi pengharapan rakyat seperti Peguam Negara dan Ketua Polis Negara diberikan kuasa kepada orang-orang yang seangkatan dengan lanun atau lebih kurang penjenayah bertauliah. Kuasa ke atas Petronas, dikhianati sesuka hati oleh mereka tanpa rasa bersalah dan ingat kepada rakyat bawahan. Asalkan mereka dapat hidup mewah, tidak mengira rakyat susah ke, melarat ke atau mati sekalipun. Soal peralihan kuasa pun, macam memberi baton begitu sahaja, adakah mereka ingat kepimpinan UMNO atau negara ini seperti harta datuk nenek moyang mereka?

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam Umno yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama. Menurut Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah PM itu yang mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai Presiden UMNO merupakan satu langkah yang silap. Katanya jawatan Presiden UMNO itu ditentukan oleh ahli UMNO dari peringkat akar umbi dan tidak wajar bagi Abdullah untuk serahkan kuasa kepada sesiapa pun.

Memang malu negara kita apabila pelbagai isu yang tidak sepatutnya berlaku pada sebuah negara yang dijadikan contoh oleh negara Islam lain dan bukan Islam. Kuasa punya pasal, rakyat yang tanggung malu, seolah-olah, negara kita ini negara Islam yang teruk dan tidak mengamalkan Islam dengan baik. Zaman sahabat nabi dahulukala, memegang kuasa amat-amat ditakuti kerana kepertanggungjawabn yang tinggi di akhirat nanti tidak tertanggung seksanya jika menyalahgunakan kuasa dan khianat kepada rakyat.

Thursday, July 10, 2008

MENGADA-ADAKAN PERKARA YANG TAK WUJUD

Dalam temuramah khas wartawan bersama Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mengenai kenaikan harga minyak dunia, beliau menyatakan dengan tegas bahawa perkara ini berlaku akibat tindak tanduk spekulasi para penguasa ekonomi dunia yang diketuai oleh Amerika. Ianya juga disebabkan oleh kejatuhan matawang dolar Amerika, dimana kesempatan ini diambil untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Cadangan saudara Mahfuz, untuk menukar kiraan dengan matawang Euro yang lebih stabil perlu disegerakan kerana kenaikan harga minyak di Malaysia pada waktu ini juga diambil kesempatan oleh kepimpinan negara yang rakus dan lagi zalim. Mengapa dalam keadaan kenaikan harga minyak dengan pengeluaran Malaysia yang melebihi permintaan sama seperti negara Venezuela yang menjual seliter RMo.16, kita lebih mahal?

Pemimpin BN memang suka mengada-adakan cerita dengan seribu alasan yang kononnya munasabah dan bijak dalam mempertahankan tindakan menaikkan harga minyak sedangkan sebenarnya cuba memperbodohkan dan menganiaya rakyat Malaysia. Perkara mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud memang telah lama diamalkan terutama dikalangan pimpinan Islam dalam UMNO demi mempertahankan kuasa rakus mereka dalam makan harta rakyat.

Dalam isu Anwar ini sejak 1998 lagi, memang amat jelas UMNO dan pihak berkuasa yang bersekongkol dengan kezaliman menganiaya beliau tanpa rasa bersalah dan berdosa kepada Allah. Mengada-adakan cerita fitnah kepada Anwar pada tahun 1998 dimana kes tersebut selesai dengan Mahkamah membatalkan hukuman berkenaan setelah puas terpenjara selama 6 tahun. Timbul sekali lagi isu liwat ini kepada Anwar pada tahun 2008 dan amat jelas kebodohan pemfitnah ini dengan bukti dangkal dan tidak masuk akal.

Selepas itu banyak pula juak-juak mereka meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran dan seumpamanya sedangkan menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berpendapat bersumpah dengan menjunjung al-Quran atau ‘mubahalah’ tidak perlu dilaksanakan kerana ia bukan sahaja akan mendedahkan aib seseorang di khalayak umum malah akan menimbulkan kesan lebih besar terhadap umat Islam.

Mufti Perak, Dato’ Seri Harussani juga membuat penegasan yang sama bahawa Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat, tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati undang-undang Islam. Sudah terang lagi bersuluh, inilah akibatnya hukum Islam dipinggirkan sekian lama oleh UMNO dan mengadakan pula fahaman yang baru dengan nama Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Pak Lah dimana jauh serta merosakkan orang Melayu Islam dari ajaran Islam sebenarnya yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w sehingga berleluasa fitnah di negara kita.

Wednesday, July 2, 2008

MANA SIASATAN KES TERHADAP VIP BN?

Merasa hairan juga dalam kes Anwar ini kerana sebegitu sibuk Polis menyiasat sebegitu teliti. Unit Forensik kelihatan di siaran berita media perdana keluar masuk kondo mewah yang dikatakan tempat berlakunya tuduhan liwat Anwar ke atas Saiful. Yang sangat-sangat hairan, setelah kenderaan Unit Forensik keluar, di dapati ia masuk semula dalam beberapa ketika dan ini tampaknya begitu mencurigakan. Adakah ada bahan bukti palsu dibawa masuk setelah puas membuat kajian tempat berkenaan dengan mencipta bahan bukti?

Memang kelihatannya begitu segera siasatan Polis terhadap kes ini dan diisytihar oleh menterinya, Syed Hamid Albar sebagai profesional. Benarkah profesional sedangkan banyak kes yang dilaporkan bertahun-tahun lamanya mengenai orang-orang kenamaan tidak disiasat dengan segera? Syed Hamid dalam sidang media menyatakan dengan bangga dan tegas bahawa siasatan Polis tidak mengenal samada orang biasa ataupun atasan seperti pemimpin negara sekalipun. Benarkah kata-kata beliau ini, mengapa tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kes Altantunya dengan tambahan akuan bersumpah Raja Petra baru-baru ini?

SYED HAMID JADI BIADAP PULA

Dalam kes liwat Datuk Seri Anwar, memang wajar beliau mendapatkan perlindungan kerana sejarah telah membuktikan bahawa apabila ada kes rekaan seperti ini, 10 tahun lalu terhadap beliau, tangkapan akan dilakukan sedangkan kesalahan belum dibuktikan dan hukuman belum lagi dijatuhkan oleh mahkamah. Ini memang merupakan satu konspirasi politik terhadap Anwar dalam memalukan peribadi beliau dan melunturkan kekuatan Pakatan Rakyat.
.
Ulasan-ulasan para menteri tentang perkara ini dalam temuramah mereka di media perdana, begitu menyedihkan kerana apa yang telah diperlakukan oleh pihak tertentu yang belum dapat dipastikan terhadap Anwar, sangat-sangat serius dan bukan bahan persendaan dan hinaan. Bagaimana jika perkara sebegini diperlakukan kepada rakyat biasa yang tidak berdosa dan tidak ternama, pasti tiada siapa yang akan membantu.
.
Bagaimana pula jika perkara ini berlaku terhadap mereka, pasti akan mempergunakan segala kuasa dan pertolongan orang atasan dalam menyelesaikan kes mereka seperti sekian lama semua Pak Menteri UMNO atau dikalangan eksekutif UMNO lakukan selama ini dengan skandal rogol dan bersekedudukan. Mahukah mereka bersedia, jika para pendokong Pakatan Rakyat ini mendedahkan sebesar-besarnya dengan segala bukti tentang tingkah laku mereka melebihi isu liwat Anwar ini?
.
Syed Hamid ketika disidang media beliau dan disiarkan di Buletin Utama TV3, kelihatannya tidak sebegitu serius dalam hal ini disamping membuat kata-kata sinis yang amat pilu kepada rakyat Malaysia yang prihatin dengan gelak ketawa yang benar-benar kelihatan menghina Anwar. Beliau menyatakan, bahawa apa yang menimpa ke atas Anwar ini adalah merupakan perilaku lakonan semata-mata. Jika benar-benar berlakon, mengapa Rahim Noor dulu dijatuhkan hukuman kerana menumbuk Anwar ketika dalam tahanan sehingga lebam mata?
.
Wahai Syed Hamid, sila untuk tidak membuat perilaku biadap terhadap rakyat. Tidakkah beliau sedar, bahawa kedudukan beliau dan gaji yang diterima olehnya tersebut adalah hasil cukai dari rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman dan ikutan poltik. Tugas beliau tidak perlu menunjuk-menunjuk pandai memberi komen itu dan ini kerana beliau hak rakyat. Beliau harus bercakap secara yang perlu sahaja sebagai tanda profesional.
.