Saturday, April 19, 2008

PERAKUAN DR KHIR TOYO

Perakuan panjang lebar Khir Toyo ini menjelaskan segalanya di dalam penulisan beliau di blog sendiri, fahami dan hayatilah :

Namun senario kedua yang mungkin berlaku adalah undi tidak percaya terhadap PM di Parlimen oleh pembangkang. Lebih-lebih lagi pemilihan Speaker juga tampaknya kurang teliti (sama seperti ketika membentuk kabinet). Jika ini berlaku, Datuk Seri Najib akan mengambil alih kepimpinan setelah mendapat persetujuan UMNO dan Barisan Nasional serta Perkenan Yang Di Pertuan Agong.

Namun saya tidak menjangkakan ini akan dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim dan sekutunya dalam jangka masa terdekat ini. Jika ia dibuat pasti jalan Anwar untuk kembali ke puncak akan lebih sukar. Ini kerana saya pasti DS Najib akan melakukan perubahan yang agresif dalam kerajaan dan parti untuk mengekang Anwar dan sekutunya.

Pada hemat saya, Anwar lebih senang melihat Pak lah terus kekal. Ini akan mewujudkan kedudukan UMNO yang lemah dan sokongan parti komponen juga agak kurang. Akhirnya BN akan kalah teruk dalam pilihan raya akan datang. Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru.

Justeru, jalan terbaik Anwar Ibrahim adalah untuk terus melemahkan UMNO dan BN. Bagi tujuan itu, Anwar akan cuba membina keyakinan rakyat terhadap beliau melalui proses demokrasi dan sekaligus meruntuhkan moral dan kepercayaan rakyat dan ahli UMNO terhadap Pak Lah dan Najib.

Saya yakin menjelang sidang kedua Parlimen nanti, satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen. Kawasan yang hampir pasti ialah Bandar Tun Razak yang berada di depan batang hidung kepimpinan hari ini.

Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengosongkan kerusi ini sebagai balasan diangkat menjadi Menteri Besar Selangor. Jawatan tersebut sepatutnya disandang oleh pemimpin nombor dua PKR, Azmin Ali. Namun ia merupakan tolak ansur Azmin yang dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bila Pakatan Rakyat PR) berkuasa kelak.

Anwar akan bertanding sebagai calon Perdana Menteri (in waiting). Sementara itu seperti tradisi, Timbalan Presiden UMNO, DS Najib akan mengetuai jentera pilihan raya kecil BN.

Dengan Pak Lah masih menjadi pemimpin nombor satu, mood di kalangan ahli UMNO dan BN akan berada di tahap amat rendah dan amat sukar untuk BN menang. Keputusan hampir pasti akan menyebelahi PKR.

Apabila ini berlaku, kemenangan Anwar bukan sahaja menghancurkan keyakinan rakyat, terutama ahli UMNO, kepada Pak Lah tetapi juga kepada DS Najib. UMNO hampir pasti hancur jika ini berlaku.

Ini yang amat saya bimbangi dan saya yakin akan berlaku, lebih-lebih lagi memikirkan kemungkinan pilihan raya kecil ini diadakan hampir dengan Persidangan Agung UMNO tahun ini. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku kepada UMNO.

Anwar Ibrahim akan mendapat sokongan moral dalam dan luar negara. Beliau akan menyusun langkah seterusnya dengan mengadakan undi tidak percaya kepada PM dalam sidang kedua Parlimen akan datang.

Ketika itu, sama ada beliau telah "beli" wakil BN atau tidak bukan lagi persoalan. Krisis keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah ketika itu amat dahsyat dan boleh dikatakan tiada keyakinan langsung. Jadi undi tidak percaya kepada Pak Lah bukan proses beli undi tetapi kerana krisis keyakinan kepada kedua-dua kepimpinan negara iaitu Pak Lah dan DS Najib (yang kalah dalam pilihan raya kecil Bandar Tun Razak).

Anwar Ibrahim akan membentuk kerajaan campuran baru. Sama ada parti komponen yang lompat atau wakil yang lompat itu perlu dikaji dengan lebih teliti.

Saya yakin Anwar tidak akan masuk sidang Parlimen sebagai Ketua Pembangkang. Jika ini berlaku akan banyak cerita lama beliau akan ditimbulkan semula dan pasti akan melukakan hati anak dan isteri beliau.

Melihat karektor Anwar sejak dahulu beliau tidak akan membiarkan perkara ini berulang dalam hidupnya. Anwar akan hanya masuk semula ke Parlimen sebagai Perdana Menteri. Itu adalah prasyarat utamanya. Walau apa pun kos dan keadaan itu soal kedua.yang penting ingin jadi Perdana Menteri negara ini.

2 comments:

Suara Rakyat said...

Salam bro, copy paste statement yang saya salin di http://kamera-bebas.blogspot.com/2008/04/isu-babi-di-selangor.html dari flyer yang diberikan kepada saya masa menghadiri himpunan di TTDI Jaya. Harap Sebarkan untuk penjelasan.

Salam
ReformasiRakyat
www.kamera-bebas.blogspot.com

akulani said...

salam,perlu lebih banyak untuk dibuat supaya blog ini dapat menarik lebih ramai pengunjung.salah satunya bleh exchange link dgn mana-mana web/blog yg lain.kalu sudi bleh jugak tukar link dgn blog ssaya

http://barisanrakyatmalaysia.blogspot.com/