Wednesday, April 23, 2008

360 DI TV3 MENGENAI BABI

Malam ni rancangan 360 telah mengutarakan bahan mengenai penternakan babi. Rancangan ini menyorot sejarah perternakan babi yang menyebabkan kehadiran virus JE di Bukit Pelanduk yang mengorbankan nyawa seramai 136 orang. Mazidul telah bertemu dan menemuramah beberapa orang penduduk sekitar dan pengusaha hotel.

Kelihatan para penduduk memang tersiksa sekian lama dengan bau busuk dan pencemaran alam sekitar di kawasan tersebut. Memang terdapat banyak ladang-ladang terbiar yang agak besar dan tidak setempat. Seorang penduduk menyatakan, ketika ternakan diusahakan, babi yang telah mati pun dicampak ke saliran air inikan pula najis dan hasil cucian kandang.

Ada seorang penduduk berbangsa India sedih apabila mengenangkan adik beliau sendiri yang merupakan penternak babi turut terkorban akibat jangkitan virus berkenaan. Para pengusaha hotel dan chalet juga terjejas teruk semasa wabak itu melanda. Seorang pengusaha chalet itu menyatakan bahawa soal ternakan itu tidaklah menghairankan, tetapi cara pengurusan kebersihan itulah yang amat kritikal.

Yang agak menarik dalam salah satu temuramah dengan penduduk ketika berada di Sepang, beliau menyatakan bahawa soal ternakan babi ini telah lama diajukan kepada ketua kampung namun tiada tindakan yang diambil sehingga sekarang.

Rancangan ini kemudiannya mendapatkan pandangan pakar daripada Prof Ir Dr Zaini Ujang tentang pengurusan ternakan babi. Beliau sangat bersetuju bahawa ternakan babi ini disatukan di kawasan yang mempunyai kawal selia yang baik dan berteknologi tinggi serta moden.

Perlu ada sistem yang dapat menghalang keluar apa jua sisa dari ternakan babi ini seperti kumbahan yang diproses kepada bentuk lain yang akan memberi keuntungan kepada alam sekitar dan penternak serta membantu keselesaan masyarakat setempat yang berbilang kaum.

No comments: