Wednesday, June 4, 2008

PEMERINTAH UMNO DAN BN BARU SIBUK?

Melihat kepada beberapa keadaan dalam negara kita yang tercinta ini memang menarik diperkatakan oleh setiap orang dari peringkat atasan sehinggalah ke peringkat bawahan. Sejak pemerintah BN kalah pilihanraya baru-baru ini, macam-macam perkara yang menampakkan betapa mereka menghadapi kesukaran yang teramat sangat menerima kekalahan yang tidak disangka-sangka.

Tanpa rasa bersalah dan segan silu mereka memainkan isu-isu ketuanan Melayu dan menggerakkan segala apa jentera atau pencacai yang dapat membantu menyelamatkan UMNO yang sememangnya sudah lama bergolak sejak tertubuhnya UMNO Baru ini. Orang-orang bukan Islam yang memangkah pembangkang akibat kesalahan mereka juga, bukan soal nak menjatuhkan orang Melayu kerana kalau dilihat kepada pimpinan orang Melayu dalam Parlimen kini masih lagi tinggi dan tiada apa yang hendak digusarkan disamping sudah termaktub jaminannya dalam Perlembagaan.

Pemerintah PR yang menguasai 5 buah kerajaan negeri dan Wilayah Persekutuan pula disamping menunjukkan cara penjimatan pengurusan pentadbiran yang tinggi, rekod-rekod penyelewengan pemerintah BN didedahkan sedikit demi sedikit amat tidak disenangi oleh pimpinan UMNO terutamanya kerana boleh membahayakan survival mata pencarian HARAM mereka serta boleh menyebabkan diri mereka terpenjara jika PR menguasai kerajaan Persekutuan dan membuka kertas siasatan.

Setelah diasak hebat dengan maklumat Datuk Seri Anwar tentang lompat-melompat ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak, pemerintah BN baru mula merasa prihatin kepada rakyat kedua-dua negeri ini. Ada pula ahli Parlimen dari Sabah amat berani menyatakan hak rakyat di Parlimen. Soal pendatang asing, kemudahan dan pertanian, baru mendapat perhatian sehingga ada tindakan drastik yang sepatutnya sudah lama dilakukan bukan selepas terpengaruh dengan kata-kata Penasihat PKR tersebut.

Soal rakyat memang kelihatan pada masa ini diambil perhatian yang amat serius oleh pemerintah BN, itupun hanya selepas rakyat memberi isyarat yang KERAS pada pilihanraya 8 Mac lalu. Dalam pada itu jugalah kelihatan UMNO semakin lama semakin hancur dengan kritik mengkritik dan cantas-mencantas sesama ahli samada secara terbuka atau tersembunyi. Amat jelas UMNO tidak lagi relevan sebagai parti politik teras orang Melayu sehingga Majlis Muafakat Melayu ingin mengambil alih tugas dari UMNO dalam membela nasib orang Melayu.

No comments: