Saturday, September 6, 2008

BAJET 2009 MEMANG GULA-GULA SAHAJA

Pembentangan Bajet 2009 oleh Pak Lah pada 29 Ogos lalu memang berkonsepkan rasuah terhormat kepada rakyat kerana terdesak akibat kekuatan dan kebijaksanaan segala cadangan Pakatan Rakyat. Pemberian insentif melalui rebet cukai pendapatan individu dinaikkan daripada RM350 kepada RM400 dan mengecualikan 100,000 pembayar cukai adalah gambaran yang sebenarnya bahawa pemerintah tidak menyelesaikan sebenar-benarnya masalah rakyat yang berpendapatan RM2000 ke bawah yang sememangnya tidak membayar cukai dan terbeban dengan kenaikan harga minyak mendadak.

Sektor awam mempunyai keuntungan pada bajet kali ini dengan pemberian bonus dan tiket percuma. Ini menyebabkan kelihatan pemerintah cuba mengambil hati pekerja-pekerja sektor awam untuk kembali menyokong mereka, dan dalam masa yang sama kelihatan meminggirkan para pekerja sektor swasta yang langsung tidak menerima sebarang manfaat daripada bajet ini. Menurut Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau kecewa dengan bajet ini kerana tidak memahami masalah sebenar rakyat dimana mengalami pendapatan yang semakin susut kerana kenaikan inflasi yang tinggi berbanding dengan perkembangan ekonomi.

Bajet kali ini menurut beliau lagi sebenarnya hanya membantu sektor-sektor tertentu dan golongan masyarakat tertentu sahaja. Ianya tidak mengambil kira isu ekonomi secara menyeluruh. Industri sel solar yang kelihatan sebagai industri kecil diberikan insentif manakala industri yang menjana eksport RM2 bilion serta Industri Kecil dan Sederhana (SME) dipinggirkan. Pemotongan duti impot ke atas makanan bukan asas dan barang-barang elektrik tidak memberikan apa kesan kepada semua rakyat Malaysia malah hanya memanfaatkan golongan-golongan tertentu sahaja.

Perbelanjaan kerajaan telah menunjukkan peningkatan yang amat tidak realistik dengan keadaan ekonomi negara yang tidak sebaik sebelumnya. Ketika Pak Lah dilantik sebagai Perdana Menteri perbelanjaan operasi kerajaan hanya RM80.5 juta, namun dalam masa kurang dari 5 tahun, perbelanjaan kerajaan melonjak kepada RM154.2 juta mencetuskan persoalan kepada rakyat, mengapa mengalami peningkatan sedangkan rakyat disuruh untuk berjimat dan mengubah cara hidup.

No comments: