Thursday, June 19, 2008

ISU BALAK KEDAH MAINAN TV3

Agaknya media arus perdana kawalan BN merasa puas jika dapat mendedahkan apa jua cerita yang boleh dimanipulasikan dalam memburukkan kepimpinan negeri Pakatan Rakyat. Terbaru isu balak pula dimainkan untuk kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS. Isunya tentang kononnya Menteri Besar membuat ugutan kepada kerajaan Pusat untuk menebang balak di kawasan tadahan hujan jika tidak menyegerakan pampasan untuk perkhidmatan alam sekitar (PES) yang dijanjikan sekian lama untuk kerajaan negeri sejak dari pemerintahan BN lagi.

Kabinet BN pada Mei 2003 memutuskan melarang aktiviti pembalakan di sekitar hutan simpan Empangan Pedu di Hulu Muda di negeri ini bagi mengekalkan peranan empangan itu sebagai kawasan tadahan hujan. Hutan Simpanan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap, Chebar Besar dan estet hutan kekal Bukit Keramat dan Bukit Saiong merupakan kawasan tadahan air bagi tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang turut membekalkan air ke Perlis dan Pulau Pinang.

Azizan menyatakan bahawa beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Pusat sebelum ini meminta supaya memberi pampasan kepada kerajaan Kedah sebagai gantian kerana tidak menebang balak di kawasan tadahan air untuk kemudahan pertanian tetapi sehingga sekarang masih tiada pampasan. Maka beliau sudah tiada pilihan, terpaksa menebang balak, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini pada 18 Jun 2008. Azizan juga menyatakan bahawa Kedah terpaksa berkorban untuk negeri lain seperti membekalkan air tetapi tidak mendapat pulangan dan hak.

Walaupun kerajaan negeri belum memutuskan untuk memulakan pembalakan, namun berbagai cerita sampingan diwujudkan oleh media arus perdana sebagai menandakan PR tidak melaksanakan dengan baik dalam hal pentadbiran. Kenapa sibuk sangat dengan isu balak di Kedah sedangkan isu balak di Pahang yang lebih buruk dan mengharukan tidak dibentangkan seluas-luasnya? Dalam mengaitkan isu balak di Kedah, TV3 dalam Buletin Utama malam ini telah mendedahkan lagi masalah pembalakan terutama di tanah tinggi Cameron dimana didapati HALAL TAPI MENCURIGAKAN sehingga menjejaskan alam sekitar seperti sungai.

Kedah mempunyai 190,000 batang balak dengan jumlah pengeluaran sebanyak 2,300 batang sehektar setiap tahun dan Kedah merupakan antara negeri yang sering dikesan berlakunya pembalakan haram selain Kelantan, Pahang dan Perak. Jabatan Perhutanan negeri pernah mengarahkan semua aktiviti pembalakan di sekitar daerah Padang Terap dekat sini dihentikan serta-merta berikutan aduan mengenai kegiatan pengeluaran balak secara besar-besaran di kawasan itu sejak sekian lama (kiranya BN punya kerja jugak). Pengarahnya, Kassim Osman berkata, semua aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan terpaksa dihentikan ekoran pengeluaran balak yang terlalu banyak dalam tempoh yang singkat.

Masalah balak yang merosakkan alam sekitar ini memang berleluasa sejak BN memerintah lagi, berikut di antara fakta-fakta yang jelas menunjukkan perkara tersebut :

  • Pendedahan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari pada 6 Mei 2008 menyatakan bahawa dipercayai kira-kira 1,000 hektar hutan telah diceroboh oleh sebuah sindiket sejak DUA TAHUN LALU iaitu Hutan Simpan Raja Musa di sini dan dua kawasan berhampiran Universiti Industri Selangor (Unisel) serta Ladang Hopeful di Bestari Jaya, tidak diambil tindakan yang sewajarnya oleh kepimpinan kerajaan negeri BN di bawah Khir Toyo.
  • Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menggesa Jabatan Perhutanan Kedah pada 14 April lalu untuk menyiasat segera aktiviti pembalakan yang dikesan berlaku lebih EMPAT BULAN LALU (sebelum pilihanraya) di kawasan Hutan Simpan Serkob Para, Kuala Muda, Kedah. Ianya berlaku di kawasan berhampiran Pusat Latihan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di Bukit Selambau dan kini hampir 100 hektar hutan balak di kawasan berkenaan telah ditebang.
  • Kerajaan BN negeri Terengganu yang kononya cekap mentadbir, bertindak mendiamkan diri apabila terdapat kejadian mencuri balak sejak NOVEMBER 2007 berhampiran Kampung Serdang, Dungun. Balak-balak yang siap ditebang, ditempatkan di kawasan beta (tempat menghimpun balak sebelum dibawa keluar) di tepi jalan Che Lijah - Durian Mentangau, 800 meter dari tapak penempatan dan operasi salah sebuah kontraktor Lebuhraya Pantai Timur. Jabatan Perhutanan telah menyita tempat berkenaan setelah ada aduan penduduk.
  • Dalam operasi BPR pada 13 OGOS 2007, seramai 18 kakitangan BPR dari Putrajaya telah berjaya menahan 22 lori di Jalan Sook-Keningau, yang membawa muatan kira-kira 5,000 batang balak bernilai jutaan ringgit dipercayai ditebang secara haram. Kayu balak haram itu dipercayai datang dari kawasan hutan di Pensiangan, Tibou, Kalabakan, Nabawan dan Sook. Balak itu dijual kepada kilang-kilang papan di Keningau yang ada di antaranya beroperasi secara haram. Menurut Ketua BPR Selangor, Mohd. Jamidan yang mengetuai siasatan tersebut berkata, aktiviti itu berlaku disebabkan oleh pengawasan dan penguatkuasaan yang lemah oleh pihak yang bertanggungjawab.
  • Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) telah membuat laporan polis terhadap isu salah urus sumber balak melibatkan bekas Menteri Besar Pahang, Tun Mohd Khalil Yaakub di Ibu Pejabat Polis Kuantan 24 OGOS 2007 jam 4.30 petang oleh Pengerusi Gerak Pahang, Mohd Zukri Aksah di Ibu Pejabat Polis Kuantan. Mohd Khalil ketika menjawat menteri besar sehingga tahun 1999 telah meluluskan konsesi balak untuk tahun 2000,2001,2002, 2003,2004 dan 2005 iaitu untuk tempoh lima tahun kehadapan dimana pada tahun-tahun tersebut beliau tidak lagi menjawat jawatan menteri besar. Nilai kehilangan hasil negeri Pahang akibat salah urus konsesi balak itu mencecah RM300 hingga RM900 juta setahun. Untuk tempoh lima tahun Pahang kehilangan hasil negeri diantara RM1.5 hingga RM4.5 Billion.
  • Seorang VIP bertindak mengancam penguat kuasa Jabatan Perhutanan Pahang dengan senjata api semasa operasi menyita balak haram dijalankan di Taman Negeri Endau Rompin, 9 OGOS 2007 dimana dalam operasi tersebut, tiga daripada lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pembalakan haram berjaya ditangkap manakala seorang lagi sempat melarikan diri. Lelaki terbabit kemudian datang semula ke tempat kejadian bersama empat lelaki lain termasuk seorang VIP yang dipercayai dalang dalam kegiatan pembalakan haram di hutan itu. VIP berkenaan telah meminta pegawai terbabit membebaskan seorang daripada rakannya yang ditangkap sambil menunjukkan senjata api yang diselit di pinggang.
  • Lebih 200 orang penduduk Kampung Cherok Meranti, Gunung Bongsu, Mahang, Kedah meminta Kerajaan Negeri masuk campur segera untuk menyelesaikan masalah pembalakan yang mengancam mereka sejak OKTOBER 2006. Didapati sebuah syarikat pembalakan Guan Soon Huat Sawmy telah diberikan kebenaran untuk menebang balak seluas 292 hektar. Pengerusi JKKK Cherok Meranti, Samsul Mohd Arif Bin Mat Saad membidas sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baru, Azimi Daim; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Dato' Paduka Kader Sheikh Fazir; Pejabat Daerah Kulim Bandar Baru dan Jabatan Perhutanan Negeri kerana tidak mengambil langkah drastik untuk menghalang pembalakan tetapi sebaliknya membiarkan situasi itu berlarutan.
  • Tajol Rosli menegaskan dalam isu pembalakan di Hutan Simpan Temenggor, hutan hujan tertua di dunia berusia 130 juta tahun tidak boleh dihentikan kerana ia memberi sumbangan yang banyak kepada ekonomi kerajaan negeri, malah memberikan kira-kira 9,000 peluang kerja dalam industri berasaskan kayu. Antara penjelasan Menteri Besar itu ialah penghasilan kayu sebanyak 500,000 meter padu bagi menampung industri berkaitan perlu diteruskan kerana kepentingan ekonomi negeri dan rakyat. Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dalam media pada April 2006 menunjukkan beberapa kawasan di hutan berkenaa khususnya berhampiran dengan tebing sungai dan tasik gondol akibat hakisan berpunca daripada penebangan pokok tanpa kawalan.

No comments: