Friday, July 18, 2008

ISU DALAMAN UMNO

Dalam kesibukan rakyat yang prihatin memperkatakan isu debat dan tangkapan Anwar secara kasar, isu dalaman UMNO yang bergolak tidak dapat disembunyikan lagi dengan pelbagai perkara yang diketahui umum. Beberapa perkara perlu diambil perhatian yang serius tentang apa yang diperkatakan oleh kedua-dua bekas tokoh UMNO yang veteran seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Sanusi Junid dalam membetulkan UMNO ke landasan perjuangan yang sebenar.

Pak Lah cuba mengurangkan kehangatan dalam UMNO dengan membuat jaminan secara rasmi untuk peralihan kuasa PM kepada orang nombor 2 pada tahun 2010. Walaubagaimanapun bukan semua ahli Majlis Tertinggi UMNO bersetuju dengan perkara ini kerana atas kesedaran bahawa parti ini perlu juga pemilihan dari peringkat akar-umbi bukan seperti mewariskan tanah Felda kepada anak peneroka. Muhyuddin adalah antara yang menentang kepada isu ini, manakala Tengku Razaleigh telah mengkritik secara terbuka.

Menurut Sanusi, usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri sepertimana yang dilakukan oleh ketua pembangkang di Parlimen hendaklah dibawa oleh seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, ke dalam parti itu terhadap Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tahun 2004 hingga tahun 2008 katanya, Pak Lah telah berjaya merosakkan imejnya dari seorang PM yang paling popular dalam sejarah Malaysia kepada PM yang paling dibenci oleh rakyat kerana didakwa lebih bergantung nasihat kepada anak, menantu dan rakan-rakan menantunya.

Tun Mahathir pula mengulas, bahawa Muhyiddin mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno sekiranya pemilihan bagi jawatan itu dibuat secara terbuka. Beliau berpendapat, kini wujud tanggapan umum yang melihat Dato' Seri Najib Razak sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak pernah mempunyai pendirian sendiri. "Dia (Najib) hanya cakap, selalu cakap, saya sokong, saya sokong, saya terharu. Tetapi dia tidak pernah sebut apa-apa mengenai hasrat rakyat terhadapnya atau bagaimana dia menghormati mereka," kata Dr Mahathir selepas merasmikan Pejabat Pentadbiran dan Biro Pengaduan Awam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Kuala Lumpur.

Tengku Razaleigh yang kelihatan lebih hampir dalam membaiki dasar perjuangan UMNO sekarang ini yang dipimpin oleh Pak Lah, telah menyatakan bahawa harga minyak boleh diturunkan, selepas beberapa hari Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek mempertahankan Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam keputusan menaikan harga minyak secara mendadak. Beliau merupakan antara mereka yang mahukan perubahan kepimpinan parti sejak pilihan raya umum lalu dan menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden kali ini.

No comments: