Thursday, October 23, 2008

BN TAK HABIS-HABIS CANANG PERKARA REMEH DARIPADA SELESAIKAN ISU PENTING

Penganalisis By : Ramjit

Oleh Noor Hayati Muda

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pemerhati politik berpendapat parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tak habis-habis mencanangkan isu remeh daripada perkara lebih penting seperti menangani politik wang, memilih pemimpin yang betul dan bekerja keras untuk meraih semula sokongan yang hilang terhadap gabungan itu dalam pilihan raya umum 8 Mac.Para penganalisis beranggapan adalah tidak penting, pada ketika ini, cadangan untuk menjadikan gabungan itu sebagai satu parti pelbagai kaum atau malahan menjalani penstrukturan semula.

Prof Dr Ahmad Atory Hussein dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata penstrukturan semula jawatan tertinggi dalam Dewan Tertinggi BN tidak akan membawa sebarang kesan signifikan dalam gabungan itu atau kepada rakyat amnya."Bagi saya ini semua perkara remeh. Saya faham mereka mahu mendapatkan kembali sokongan daripada kaum mereka sendiri tetapi saya tidak fikir ini akan memberi faedah kepada rakyat secara amnya."Lagipun, semua jawatan tinggi dalam BN hanya pada nama sahaja kerana semua keputusan dibuat berdasarkan persetujuan bersama tanpa mengira jawatan mereka dalam Dewan Tertinggi," kata pensyarah di Fakulti Pentadbiran Awam dan Undang-undang universiti itu.

Beliau berkata BN ditubuhkan berdasarkan persefahaman tanpa terikat dengan perlembagaan secara sah."Tidak penting siapa yang duduk di situ kerana kedudukan mereka dalam Dewan Tertinggi sebenarnya sama sahaja. Umno diberikan jawatan pengerusi dan timbalannya atas dasar persefahaman bahawa ia parti terbesar dan keadaan itu kekal sehingga hari ini," katanya.Dr Ahmad Atory berkata pemimpin BN sepatutnya menumpukan pada isu lebih penting iaitu memenangi semula keyakinan rakyat."Mereka sebenarnya perlu melihat kepada keadaan sebelum ini dan mengkaji situasi itu secara menyeluruh dan mencari punca kepada masalah itu, kemudian merumuskan idea yang bernas yang benar-benar membantu gabungan menarik semua pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Anda boleh mendapatkan semula sokongan anggota parti anda sendiri, tetapi yang pentingnya ialah rakyat," katanya.Kenyataan Dr Ahmad Atory itu merujuk kepada kegagalan BN untuk menawan semula Kelantan dan kekalahan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac.Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merujuk kepada permintaan MCA agar diwujudkan jawatan kedua bagi timbalan pengerusi BN untuk dipegang oleh parti itu, dan berkata melayani permintaan itu akan membuka pintu kepada parti komponen lain untuk membuat tuntutan yang sama."Di samping itu, saya berpendapat ada perkara lain yang lebih mendesak yang perlu ditangani oleh pemimpin BN, pembaharuan yang lebih penting seperti menangani politik wang, misalnya," katanya.

Beliau juga berkata pemimpin BN telah menyimpang daripada masalah sebenar."Setiap parti komponen, sama ada Umno, MCA, MIC atau malahan Gerakan, mempunyai masalah kepimpinan. Saya fikir mereka mesti selesaikan ini dulu sebelum bercakap mengenai membaharui struktur gabungan," kata pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu.Pendapat Dr Ahmad Nizamuddin turut dikongsi Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dari Universiti Tun Abdul Razak yang berkata apa yang patut diutamakan oleh parti komponen BN ialah memilih "pemimpin yang betul"."Saya berpendapat apa yang paling penting sekarang ialah untuk semua parti komponen memilih pemimpin yang betul. Kemudiannya, selepas itu mereka boleh membincangkan idea bagi pembaharuan," kata bekas Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan universiti itu.

Katanya adalah amat kritikal untuk memilih pemimpin yang mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang serta mempunyai rangkaian yang luas sama ada di dalam dan luar negara."Kita mempunyai banyak pemimpin cemerlang seperti dalam dunia korporat, dalam sektor perkhidmatan awam dan pendidikan. Oleh itu, pada pandangan saya, pemimpin politik juga perlu terdiri daripada kalangan yang terbaik," katanya.Berdasarkan keadaan semasa, daripada segi politik atau ekonomi, Dr Ibrahim mempunyai sebab kenapa amat penting untuk memilih pemimpin yang betul kerana pemimpin berkenaan perlu mencari jalan bukan sahaja untuk memperkukuhkan parti mereka tetapi juga BN serta mengemudi negara dalam menghadapi krisis ekonomi global sekarang.

Pada masa yang sama, mereka perlu memulihkan semula keyakinan pengundi jika BN mahu kekal berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.Oleh itu, Dr Ibrahim berkata adalah amat penting bagi pemimpin BN untuk mengenal pasti punca masalah itu yang telah menyebabkan gabungan itu berada dalam "kepanasan" sebelum ini.Katanya setiap cadangan bagi perubahan perlu dikaji dengan mendalam berdasarkan prinsip setiap parti komponen dan yang paling penting ialah mereka perlu menumpukan kepada kepentingan rakyat dan dalam masa yang sama memastikan negara kekal stabil."Pembaharuan mesti berdasarkan beberapa faktor, luaran dan dalaman. Ada yang sukakan perubahan secara radikal tetapi bagi saya usaha ini perlu dilakukan secara berterusan," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, October 9, 2008

PEMERINTAH BN PANDAI MENUTUP ISU MEREKA

Sejak dahulu sehingga ke waktu ini, pemerintah yang didalangi ketua syaitannya iaitu UMNO, telah banyak kali berjaya menutup isu yang kritikal dari kalangan mereka kerana telah memegang kepercayaan iman UMNO bahawa MELAYU MUDAH LUPA. Apa jua kezaliman yang berlaku dalam negara ini yang dilaksanakan oleh UMNO, walaupun ada tanda kemarahan yang hebat dikalangan orang Melayu, akhirnya lupa begitu sahaja kerana KEZALIMAN tidak kena pada diri orang Melayu berkenaan. Kebangkitan orang Melayu hanya pada bak kata pepatah, dah terhantuk baru nak tengadah.

Sebab yang paling besar orang Melayu tidak boleh hendak berubah kepada pejuang keadilan ialah ISLAM yang tidak dihayati keseluruhannya, hiburan yang melalaikan dibiarkan tanpa batasan dan kewangan yang dibuat umpan senyap-sunyi penjenayah dalam BN tanpa disedari oleh rakyat. Inilah faktor paling besar mengapa orang Melayu susah hendak berubah kepada Pakatan Rakyat berbanding kaum lain. Pegangan bodoh yang teramat sangat dan sentiasa diguna pakai oleh 70 peratus orang Melayu di Malaysia, ialah tiada parti lain boleh memerintah negara hanya UMNO dan Barisan Nasional sahaja.


Thursday, October 2, 2008

KLINIK POLITIK (DARI DETIKDAILY) - ANWAR AGEN AS?

(Ruangan Klinik Politik menjawab beberapa pertanyaan dan kenyataan yang kerap menghinggap sms penulis dan mel-e beliau di ibnuamir@yahoo.com.)
.
Soalan:-
Saya mendengar cakap-cakap umum bahawa di belakang Anwar itu ada Amerika Syarikat dan Islam Liberal. Beliau kerap dinobatkan rakyat sebagai bakal Perdana Menteri. Bagaimana sikap kita tentang hal ini?Rahmah, Kota Bharu, Kelantan.

Jawapan:-
Cik Rahmah, pertamanya, andaian seumpama ini harus dinilai melalui cara agama kita. Sesiapa pun yang berada di tempat Anwar akan berusaha mencari sokongan di luar. Mungkin, kalau kita di tempat beliau pun, kita akan membuat hal yang sama. Pertama sekali, perlu dijelaskan sikap saya kepada Anwar. Saya bukan pro Anwar, saya pro kepada kebenaran yang cuba diangkat oleh Anwar. Kita ini mestilah pro Tuhan, kerana Tuhan sentiasa memihak kepada kebenaran. Izinkan saya cerita tentang hal peribadi sedikit walaupun saya sebenarnya tidak suka mengulang-ulang kembali cerita lama.
.
Ia berhubung sikap saya ketika berseteru dengan HEP USM sekitar 2004 - 2005. Strategi yang saya gunakan ketika berentap melawan TNCHEP USM adalah lebih kurang sama dengan strategi Anwar melawan Umno-BN. Iaitu, kita akan gunakan segala macam cara untuk menghebahkan kebejatan HEP. Blog, (ketika itu saya menggunakan multiply, blogspot belum popular dan jika YouTube pun terkenal pada saat itu, nescaya saya menggunakannya)Akhirnya, isu itu diangkat oleh suatu pertubuhan wartawan antarabangsa, dikenali sebagai SEAPA. Timbul kekecohan sebentar dalam kalangan pensyarah tentang bagaimana hal itu berlaku. Saya pun tidak tahu. Ini semua, bagi saya, adalah kerja Tuhan.
.
Ekoran itu, terdapat banyaknya lambakan surat demi surat yang bertebaran di atas meja TNC Dato' Prof Jamaludin Mohaiadin. Dan, hal ini meresahkan beliau. "Macam mana you buat semua ini?" tanya beliau. Saya terpinga-pinga, tidak tahu apa-apa. Ketika itu beliau memanggil saya ke pejabatnya secara tidak rasmi. "Banyak betul surat bantahan dari luar negeri tentang you." Selepas itu, saya dapat melihat laporan-laporan picisan berhubung SEAPA tersebar di laman Idealis Mahasiswa. Laporan yang bukan-bukan. Konon kata mereka, SEAPA adalah sebuah pertubuhan yang sengaja ditubuhkan dengan tujuan mencari di mana kesilapan pendidikan di Malaysia, dll. Walhal, pertubuhan itu bukanlah bermotifkan dengan maksud tersebut.
.
Ia adalah pertubuhan yang membela nasib penulis atau wartawan yang telah hilang, terbunuh dalam peperangan atau dikenakan penindasan kerajaan. Itulah yang saya ketahui serba sedikit mengenainya. Oleh kerana orang di HEP ini kuat dan tebal betul semangat Umno dan tergolong dalam kaum Umno Harbi, saya tidak hairan hal ini boleh berlaku. Walhal mereka sendiri terlibat dengan Freemason, musuh Islam semenjak dulu dan beberapa acara mereka ada sangkutan dengan AS. Umno adalah dajal, yang handal dalam tipudaya. Ini saja formula untuk mengetahuinya. Berdasarkan maklumat yang kerap saya terima, antara pihak dan dalang dalam parti pemerintah yang kerap menggunakan strategi ini ialah BTN, Akhbar Mahasiswa.
.
Saya yakin 80% mereka ada hubungan. Memang betul Anwar ada hubungan dengan AS. Beliau memang diajak ke sana untuk bercerita mengenai masalah politik Malaysia. Apa masalahnya di sini? Memang dia terhumban, merengkok penjara angkara difitnah liwat iaitu sesuatu yang tidak muda diterima jumhur khalayak rakyat waras. Dia mesti bercerita untuk melepaskan tension yang bersarang di dadanya. Dan sekali lagi, harus diingat, bahawa catatan ini ditulis bukan bererti saya ini pro Anwar 100%, tetapi saya menyokong kebenaran yang diangkatnya. Jangan diperbodohkan lagi.
.
Tapi, harapnya, janganlah kita sampai sanggup dan sudi diperbodohkan lagi dengan khabar-khabar yang menonjolkan Anwar seperti watak begitu. Apatah lagi kita memang tidak nampak apa yang Anwar sedang dan telah lakukan di luar negara. Tiba-tiba, ada pihak yang bertindak mencederakan peribadi Anwar dan dia adalah Umno yang punya rekod buruk dalam memperbodohkan rakyat di negara ini, menangkap dan menahan orang tanpa bicara dan sebagainya. Benar! Rakyat kita masih percaya kepada Umno dan kerana Umno adalah Tuhan mereka. Kalau mereka percaya kepada al-Qur'an, nescaya mereka tidak menjadi sebegini.
.
AS ada sikap ingin menyelidik. Satu lagi isu, ialah AS suka menyelidik. Banyak badan-badan penyelidikan yang ditubuhkan bagi mengkaji kegiatan-kegiatan persatuan di beberapa negara tertentu. Menurut hemat saya, ini tradisi warisan untuk menjajah. Hal yang sama dilakukan oleh Vasco De Gama, orientalis terdahulu yang menubuhkan SOAS di universiti-universiti di Barat dengan tujuan mengkaji perkembangan belahan dunia Timur. Hal ini masih berlanjutan. Anwar dan beberapa orang pimpinan negara lain di belahan dunia Timur ini tentunya antara subjek kajian mereka. Itu sudah pasti. Tentunya juga mereka ini mengkaji Umno, Abdullah Ahmad Badawi termasuklah Najib.
.
Mereka ada maklumat tentang Khairy, kapal selam Scorpene dari Perancis, pembunuhan Altantuya dan sebagainya. Apabila saya tamat pengajian, seorang penyelidik mengenai politik pelajar di Malaysia, namanya Meredith dari AS telah menghubungi saya. Beliau ingin mencatat beberapa perkara dan senario dalam kampus yang berlaku sepanjang tahun 2000 hingga tahun-tahun yang terakhir. Ini perkara biasa dan proses itu akan terus berlaku. Budaya dan tradisi ini tidak wujud dalam masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Pas juga tidak bangunkan badan-badan penyelidikan untuk mengkaji Barat dan Yahudi. Yang ada, adalah orang perseorangan dalam Pas yang buat penyelidikan peribadi. Itu mungkin ada. Jadi, bagaimana nak memerintah?
.
Yang ada, adalah individu yang cuma memberikan kenyataan tentang hal kesukaran menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September dan hal itu, menurut saya, belum boleh diangkat sebagai satu darjat keilmuan. Maksud saya, kalau tak jadi pun, orang pun boleh agak. Tak perlu bagitau pun tak apa. Biarlah hal kegagalan itu keluar daripada lidah Abdullah. Kita pun tak rasa sakit hati sangat. Sebab, memang Umno musuh rakyat! Syahadan kita perlu mengenali siapa musuh kita yang sebenarnya. Melayu kita yang bijaksana telah menyediakan banyak ungkapan seperti :
.
1. Musuh dalam selimut
2. Gunting dalam lipatan
3. Duri dalam daging
4. Api dalam sekam
5. Tali barut (mula popular sejak zaman penjajahan Jepun)
.
Kita mungkin boleh kenal siapa kawan, siapa lawan kita dengan jelas. Tapi siapakah 'rasoh' (rakan yang sebenarnya musuh) dan munafik (Muslim di luarannya, kufur dalamannya), hal itu perlukan penjelasan. Kalau tak salah saya, Sun Tze, pengarang The Art of War (atau mungkin Confusius): Kalau kita dapat mengenali betul-betul siapa kawan dan siapa musuh, maka dalam 100 peperangan, kita mendapat 100 kemenangan. Mungkinkah dalam banyak peperangan yang menyaksikan pembangkang tewas melawan Umno sebelum ini adalah berpunca daripada kegagalan kita mengenalpasti siapakah kawan dan lawan. Bak kata Nabil, Raja Lawak, "Lu pikirlah sendiri!".
.

Tuesday, September 30, 2008

SURAT TERBUKA KEPADA PM OLEH ZAID IBRAHIM


Sewaktu mengisytiharkan kemerdekaan negara, Perdana Menteri pertama kita telah melaungkan aspirasi dan mimpi indah rakyat Malaya: bahawa Malaya adalah diasaskan di atas prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan serta di atas janji bahawa kita beramai-ramai akan sentiasa berjuang bagi meningkatkan lagi kebajikan dan kebahagiaan rakyatnya.Bertahun telah berlalu sejak peristiwa penting itu berlangsung, namun aspirasi dan mimpi tersebut masih benar dan masih relevan kepada kita hari ini sepertimana ia benar dan relevan kepada kita sebelum ini. Ini dimungkinkan dengan adanya satu pegangan teguh terhadap asas-asas negara pada peringkat awal kewujudannya. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang dibuat sehubungan dengannya diletakkan di atas asas yang kukuh di mana ia menggabungkan elemen-elemen penting demokrasi yang dibina di atas Kedaulatan Undang-Undang.

Satu ketika dahulu, Kehakiman Malaysia sangat dihormati oleh warga Malaysia malah turut dijadikan panduan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri-Perdana Menteri kita yang terdahulu, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak and Tun Hussein Onn, adalah pemimpin-pemimpin yang sangat berintegriti, adalah pejuang-pejuang mengikut cara mereka yang tersendiri dan, yang paling penting sekali, adalah individu-individu yang serba sederhana. Mereka mempunyai kepercayaan terhadap prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam Perlembagaan kita dan membina negara ini berpandukan kepadanya.Tatkala mereka terpaksa meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1960, sekalipun mereka melakukannya dengan sangat berhati-hati dan dengan bersikap apologetic mengenainya. Tunku menyatakan dengan jelas bahawa tujuan Akta ini diluluskan adalah bagi menangani ancaman komunis.

'Saya dan rakan-rakan saya dalam kabinet berjanji kepada Parlimen dan kepada negara bahawa kuasa-kuasa luas yang diberikan kepada Kerajaan di bawah ISA tidak sesekali akan digunakan bagi mengekang bangkangan dan ketidaksetujuan yang dibuat mengikut undang-undang' adalah apa yang diucapkan oleh Tunku dahulu. Ketetapan ini dikukuhkan lagi kemudiannya oleh Perdana Menteri ketiga kita, Tun Hussein Onn, yang menyatakan bahawa ISA bukanlah dimaksudkan untuk mengekang bangkangan politik yang dibuat secara sah atau untuk menyekat aktiviti demokrasi rakyat.Beberapa peristiwa yang berlaku tiga minggu lepas bagaimanapun telah memaksa saya mengkaji semula cara ISA digunakan. Sungguh menyedihkan sekali kerana kesimpulan yang saya perolehi darinya ialah bahawa Kerajaan telah berulang-ulang kali menghampakan rakyat negara ini dengan berulang-ulang kali juga memungkiri janji yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman tersebut.

Ini berlaku kerana Kerajaan dan undang-undang yang digubalnya telah dengan secara tidak betul memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan sesiapa sahaja atas apa sahaja alasan yang difikirkannya perlu. Budi bicara yang subjektif ini telah disalahgunakan bagi menjaga kepentingan-kepentingan politik tertentu.Sejarah adalah guru agung yang dapat menjelaskan banyak perkara dalam hal ini. Semakan sepintas lalu ke atas cara ISA digunakan sejak ia diluluskan sekalipun akan mendedahkan betapa tujuan asal ISA telah dikesampingkan oleh keperluan politik semasa.

Adalah dikesali yang Tunku Abdul Rahman sendiri pun telah memungkiri janjinya. Pada 1965, pentadbirannya telah menahan Burhanuddin Helmi, iaitu seorang intelektual Melayu yang cukup hebat dan seorang nasionalis yang kebetulannya juga turut menjadi seorang pemimpin PAS. Dia telah diletakkan dalam tahanan sehingga dia meninggal dunia pada 1969. Helmi hanyalah seorang musuh politik dan tidak dapat dibayangkan yang dia boleh dikatakan terlibat dalam pemberontakan bersenjata atau komunisme yang ISA dirangka untuk menangani. Penahanannya ini adalah sesuatu yang menyimpang dan menjadi satu detik menyedihkan di mana kepentingan politik telah dibenarkan mengatasi Kedaulatan Undang-Undang.

Ia malangnya seakan menjadi satu 'precedent' dan banyak lagi penahanan ke atas individu-individu yang dianggap menjadi ancaman kepada pentadbiran waktu itu menyusulinya tahun demi tahun. Malah tokoh kesusasteraan kita, 'sasterawan negara' Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail juga telah ditahan di bawah ISA pada 1976. Bagaimana mungkin beliau boleh menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara?Tidak perlulah saya mengingatkan anda mengenai impak dahsyat Operasi Lalang 1987. Kesannya menghantui Kerajaan sepertimana juga ia menghantui rakyat negara ini yang cintakan keamanan kerana ia menebarkan kegelapan ke atas setiap dari kita. Terdapat banyak soalan yang masih belum terjawab mengenai detik-detik gelap tersebut bila lebih daripada seratus orang telah ditahan kerana dikatakan menjadi ancaman terhadap keselamatan negara. Sebab mengapa mereka ditahan tidak pernah dinyatakan dengan jelas kepada rakyat Malaysia.
.
Begitu juga tiada penjelasan diberikan tentang sebab mengapa mereka tidak pernah didakwa di mahkamah. Termasuk dalam senarai mereka yang ditahan ini adalah beberapa Ahli Parlimen kanan pembangkang yang masih lagi aktif dalam Parlimen hari ini. Sesatunya perkara yang benar-benar jelas mengenai tempoh itu adalah UMNO pada waktu itu sedang berhadapan dengan satu krisis kepimpinan. Apakah ia bukan satu kebetulan yang tangkapan-tangkapan di bawah ISA baru-baru ini berlaku bila UMNO sekali lagi mengalami satu krisis kepimpinan?
.
Pada 2001, aktivis-aktivis 'reformasi' Keadilan telah ditahan dalam satu tindakan yang kemudiannya diisytiharkan sebagai dibuat secara tidak betul dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan. Penahanan berterusan mereka yang tidak dibebaskan lebih awal di pusat tahanan Kamunting hanya dibolehkan kerana ISA telah dipinda dalam cara yang meragukan pada 1988 bagi tidak lagi membenarkan semakan kehakiman dibuat ke atas arahan Menteri untuk menahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan bahawa tahanan-tahanan ini telah cuba menggulingkan Kerajaan melalui cara-cara militan dan demonstrasi-demonstrasi liar.
.
Tujuh tahun telah berlalu sejak kejadian ini berlaku tetapi hingga kini belum ada sebarang bukti bagi menyokong dakwaan ini dikemukakan. Menambahkan lagi kekeliruan rakyat, salah seorang daripada mereka yang dikatakan "ganas dan militan" itu ialah Ezam Mohamad Noor. Inilah orangnya yang baru-baru ini disambut kembali ke dalam UMNO dengan sambutan besar-besaran, seolah-olah ianya merupakan satu kejayaan besar.Lebih kurang pada masa yang sama, ahli-ahli PAS juga telah ditahan kerana dikatakan menjadi militan dan kerana kononnya mempunyai pertalian dengan rangkaian pengganas antarabangsa. Mereka yang ditahan itu termasuklah Nik Adli, anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan.
.
Kerajaan ketika itu berjanji akan mendedahkan kepada rakyat Malaysia mengenai bukti kegiatan-kegiatan ganas dan pertalian tahanan-tahanan ini. Sehingga sekarang tiada bukti sebegini pernah diberikan.Formula yang sama telah digunakan pada akhir 2007 bila 5 pemimpin HINDRAF ditahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan sekali lagi bahawa individu-individu ini terlibat dalam aktiviti-aktiviti penggulingan Kerajaan dan mempunyai perkaitan dengan gerakan militan Pemisah Tamil Eelam Sri Lanka. Sehingga sekarang tiada bukti kukuh pernah dikemukakan bagi menyokong dakwaan ini.
.
Jadi apa yang boleh dilihat ialah kelima-lima mereka ditahan kerana melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membawa kepada satu mobilisasi masyarakat India Malaysia bagi meluahkan secara aman kekecewaan mereka ke marginalisi yang dilakukan ke atas masyarakat mereka. Perjuangan ini kemudiannya telah diiktiraf sebagai satu perjuangan yang sah. Demonstrasi HINDRAF bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana perhimpunan-perhimpunan seperti itu diiktiraf di seluruh dunia sebagai satu cara pernyataan yang sah.Dalam nada yang sama, asas-asas yang diberikan bagi menyokong penahanan terbaru Tan Hoon Cheng, Teresa Kok dan Raja Petra Kamarudin menimbulkan banyak persoalan.
.
Penjelasan bahawa Tan Hoon Cheng ditahan bagi menjamin keselamatan dirinya adalah melucukan. Kenyataan bahawa Teresa Kok telah menyalakan sentimen-sentimen keagamaan juga adalah tidak berasas sebagaimana terbukti oleh pembebasannya selepas itu.Mengenai pengkritik tersohor Kerajaan, Raja Petra Kamarudin pula, semakan ke atas tulisan-tulisannya akan menunjukkan bahawa dia mungkin telah menghina Kerajaan dan individu-individu tertentu di dalam Kerajaan. Bagaimanapun, bersikap kritikal dan menghina tidak boleh dalam apa cara pun dianggap sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara. Jika tulisan-tulisannya dianggap menghina Islam, orang-orang Islam atau Nabi Muhammad (saw), dia sepatutnya didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan bukannya ditahan di bawah ISA.
.
Apa pun, dia juga telah didakwa atas kesalahan menghasut dan melakukan fitnah jenayah berhubung dengan beberapa kenyataannya. Dia telah meminta dibicarakan, dan ini menunjukkan kesediaan serta kemampuannya untuk mempertahankan dirinya sendiri. Cara terbaik bagi memastikan keadilan terlaksana adalah dengan memberikannya peluang mempertahankan dirinya di mahkamah lebih-lebih lagi di mana dalam pandangan umum Kerajaan adalah dalam satu kedudukan konflik kerana telah menjadi sasaran kritikan kerasnya.Contoh-contoh yang diberikan di atas menjadi petanda jelas bahawa Kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah Kerajaan yang tidak demokratik.
.
Perspektif inilah yang telah sejak lebih 25 tahun lalu membawa kepada Kerajaan kelihatan dengan sewenang-wenangnya menahan musuh-musuh politik, pejuang-pejuang pertubuhan sivil dan kepenggunaan, penulis-penulis, usahawan-usahawan, pelajar-pelajar dan wartawan-wartawan yang kesalahannya, jika ia boleh dikatakan sebagai kesalahan, adalah bersikap kritikal terhadap Kerajaan. Bagaimana individu-individu ini boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara adalah di luar dari kefahaman saya. Realiti yang terbukti adalah ketidaksetujuan yang dibuat secara sah telah dan sedang dikekang melalui penggunaan secara semberono ISA.Terdapat mereka yang menyokong dan memperjuangkan bacaan secara 'carte-blanche' ISA ini.
.
Mereka akan berusaha untuk meyakinkan anda bahawa kepentingan-kepentingan negara memerlukan kuasa sebegitu dikekalkan dan bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia adalah disebabkan oleh kewujudan undang-undang seperti ISA ini. Ini bagaimanapun gagal mengambil kira fakta asas bahawa rakyat Malaysia dari semua kaum mengagungkan keamanan. Kita hidup bersama secara aman sejak 400 tahun lepas bukan kerana adanya undang-undang ini tetapi walaupun adanya undang-undang ini.Saya percaya rakyat negara ini sudah cukup matang dan bergeliga bagi membezakan di antara tindakan-tindakan yang merupakan satu ancaman 'sebenar' terhadap negara dengan tindakan-tindakan yang mengancam kepentingan-kepentingan politik.
.
Rakyat Malaysia telah mengetahui bahawa ISA digunakan terhadap musuh-musuh politik dan kelihatannya bila kepimpinan sedang menghadapi cabaran sama ada dari dalam parti pemerintah sendiri atau dari elemen-elemen luar.Rakyat Malaysia hari ini mahu melihat sebuah Kerajaan yang komited terhadap proses mahkamah bagi menentukan kebersalahan atau ketidakbersalahan walaupun untuk tindakan-tindakan yang dikatakan mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan. Kini mereka tidak begitu mempercayai bahawa hanya seorang individu, iaitu Menteri Dalam Negeri, yang paling tahu mengenai soal-soal keselamatan negara walaupun mereka sebelum ini pernah mempercayainya. Mereka menghargai kebebasan dan perlindungan ke atas kebebasan-kebebasan sivil dan ini pun benar bagi rakyat negara-negara lain juga.YAB Perdana Menteri, keputusan-keputusan Pilihan Raya Umum lalu adalah petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia sedang menuntut satu pemulihan semula Kedaulatan Undang-Undang.
.
Saya telah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang dan reformasi kehakiman, walaupun hanya sekejap. Dalam kapasiti itu, saya dapat memahami dengan lebih mendalam betapa ramai dari kita mahukan reformasi, bukan semata-mata atas kepentingan reformasi itu, tetapi atas tahap di mana institusi-institusi kita telah dilemahkan oleh kejadian-kejadian dan impak yang dihadapkannya kepada masyarakat.Dengan restu anda, saya telah cuba menggerakkan reformasi.
.
Berada di atas dalam senarai keutamaan saya adalah satu pemulihan semula ke atas kuasa kehakiman (judicial review) yang boleh dilakukan melalui satu pengembalian semula satu peruntukan penting perlembagaan ke bentuk sebelum ia dipinda secara kontroversial pada 1988. Tidak perlulah saya mengingatkan anda bahawa pindaan perlembagaan itu didorong oleh satu siri peristiwa sama yang membawa bukan hanya kepada Operasi Lalang tetapi juga kepada pemecatan Ketua Hakim Negara dan dua Hakim Mahkamah Agung pada waktu itu.
.
Salah satu keutamaan saya ialah cara dalam mana bidang kuasa dan kuasa Mahkamah-Mahkamah untuk membuat pembetulan ke atas tindakan wewenang dan di luar perlembagaan Eksekutif telah dikeluarkan oleh Parlimen dan tahap di mana ini telah menyebabkan berlakunya kemerosotan ke atas kebebasan-kebebasan sivil rakyat Malaysia. Pindaan perlembagaan inilah yang telah membuka jalan kepada peruntukan 'ouster' dalam ISA yang secara efektifnya memberi imuniti kepada Menteri dari semakan kehakiman, di mana ini adalah satu peruntukan yang menjadi contoh betapa pindaan perlembagaan 1988 telah membuka ruang untuk berlakunya ketidakadilan.Saya juga telah cuba memperkenalkan cara-cara dengan mana langkah-langkah boleh diambil bagi membantu Kehakiman memperolehi semula reputasi kebebasan dan kecekapan yang pernah dipunyainya dahulu.
.
Malangnya, ini dianggap tidak diperlukan oleh sesetengah pihak kerana Kehakiman yang bebas akan membawa makna Eksekutif akan menjadi kurang 'berpengaruh'.Saya telah cuba melakukan perkara-perkara ini dan perkara-perkara lain kerana menyedari Kedaulatan Undang-Undang dan tradisi-tradisi demokratik di Malaysia sedang terhimpit. Apa pun, tiada orang yang rugi dengan memberikan setiap rakyat negara ini sebuah Kehakiman yang bebas dan peluang ke atas satu perbicaraan yang adil. Ini adalah konsisten dengan norma-norma sejagat mengenai hak-hak asasi manusia dan ia juga adalah konsisten dengan ajaran-ajaran Islam, iaitu agama bagi Persekutuan.
.
Kuasa tidak terbatas untuk menahan atas kehendak seorang individu adalah penindasan yang paling tinggi. Malah, di Israel, iaitu sebuah negara yang sentiasa berada dalam keadaan berperang sekalipun, kuasa untuk menahan tidak diberikan pada seorang individu seperti di Malaysia dan arahan-arahan penahanan memerlukan pengesahan daripada seorang hakim.Jika terdapat pertimbangan-pertimbangan keselamatan negara, maka ini boleh ditangani tanpa mengenepikan kawalan-kawalan keselamatan yang dimaksudkan bagi melindungi rakyat dari dihukum secara tidak betul.
.
Dalam bidang-bidang kuasa lain yang terlibat dalam konflik-konflik bersenjata, perbicaraan-perbicaraan dikendalikan secara sulit bagi membenarkan penelitian kehakiman dibuat ke atas bukti yang dianggap terlalu sensitif untuk didedahkan kepada umum bagi memenuhi kehendak-kehendak keadilan. Jika ini boleh dilakukan dalam bidang-bidang kuasa lain, mengapa tidak di sini di mana pertempuran bersenjata terakhir dapat kita saksikan, yang menjadi punca kepada wujudnya ISA, telah berakhir pada 1980-an?
.
Sebarang keraguan mengenai kerelevanan ISA dalam bentuknya sekarang sepatutnya sudah terhapus oleh rekomendasi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bahawa ISA perlu dimansuhkan dan bahawa sebuah undang-undang anti-keganasan yang bersesuaian dengan masa kini perlu diluluskan bagi menggantikannya. Mengandungi satu klausa 'sunset' dalam masa asalnya, ISA tidak pernah dimaksudkan untuk menjadi satu ciri asas dalam landskap perundangan Malaysia.Melalui penggunaan berterusannya dalam cara yang diterangkan di atas dan berhadapan dengan sentimen umum, adalah natural bahawa ISA telah melekat di dalam fikiran orang ramai sebagai satu alat penindasan dan Kerajaan yang ada sebagai satu Kerajaan yang membuka ruang untuk berlakunya penindasan.
.
Penggunaan berterusannya tidak menjadi petanda baik bagi sebuah masyarakat yang sedang berjuang untuk mencari tempatnya dalam arena global. Ia juga tidak menjadi petanda baik bagi demokrasi yang sangat penting bagi membolehkan kita membangun secara berterusan.YAB Perdana Menteri, saya mengingati dengan sangat jelasnya apa yang anda sebutkan dahulu, iaitu bahawa jika seseorang itu mempunyai kesempatan untuk melaksanakan apa yang baik dan betul untuk negaranya, maka dia mestilah melaksanakan tugasan itu. Saya sangat menghormati anda kerananya. YAB, anda masih lagi Perdana Menteri buat masa ini dan masih lagi mempunyai kesempatan untuk meninggalkan jejak anda dalam sejarah Malaysia. Saya menyeru anda berbuat begitu dengan memansuhkan terus ISA.Marilah kita cuba memenuhi janji yang dibuat oleh Perdana Menteri pertama kita yang dikasihi kepada rakyat negara ini.
.
Yang benar
.
ZAID IBRAHIM

Wednesday, September 24, 2008

PENGHINAAN PEMERINTAH KEPADA RAKYAT

Semakin kuat pemerintah BN menunjukkan kuasanya semakin meluap perasaan marah rakyat kepada mereka. Isu rakyat semakin tidak dihiraukan oleh para pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya. Orang Melayu semakin tertekan dalam menjalani kehidupan, para kepimpinan UMNO terus bercakaran dan menjadi perasuah besar dalam mempertahankan jawatan masing-masing bagi kepentingan peribadi semata-mata. Muhyuddin telah memberikan pandangan kepada pihak atasan tentang beberapa perkara yang sebenarnya hanya sekelumit perasaan untuk merubah UMNO yang telah rosak, bagaikan anai-anai yang memakan kayu.

Kita lihat, semasa kenaikan harga minyak dunia yang lalu, para pemimpin UMNO sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak mendadak tanpa kajian yang rapi. Apabila harga setong minyak turun sehingga 96 dolar US, pemerintah menurunkan secara perlahan-lahan pula sedangkan permasalahan ekonomi negara dan rakyat khususnya semakin buruk akibat tindakan buruk mereka itu. Satu angka rasmi yang dikeluarkan hari ini, bahawa kadar inflasi telah melonjak ke paras 8.5 peratus pada bulan Ogos - yang tertinggi dalam tempoh 27 tahun - ekoran peningkatan harga makanan dan bahan api.

Kita lihat satu kes di wilayah persekutuan KL sebelum ini melalui Menteri Wilayah dan Datuk Bandar telah memberikan jaminan untuk membantu rakyat walaupun di dalam kawasan Parlimen yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, namun akhirnya pembohongan mereka terbongkar. Bukan sahaja enggan bekerjasama memberikan sebarang maklumat, bantuan kewangan juga tidak dihulurkan. Sehingga kini, semua ahli Parlimen Pakatan di Wilayah Persekutuan menggunakan dana sendiri dan bantuan orang ramai bagi menjalankan aktiviti bersama rakyat dalam kawasan masing-masing.

Penghinaan kepimpinan pemerintah kepada rakyat bertambah apabila berlaku pula pertukaran suka sama suka Pak Lah dan Najib dari portfolio masing-masing dalam Kementerian Kewangan dan Pertahanan. Seolah-olah, jawatan menteri ini bagaikan hak kepimpinan UMNO dan jelas bagaikan kepimpinan diktator dan hampir komunis. Pertukaran kepada seorang pemimpin yang jelas banyak masalah terutamanya dalam mendapatkan komisen RM500 juta dalam pembelian kapal selam dan keterlibatan pembunuhan kejam Altantunya, telah menghancurkan perasaan rakyat yang melihat negara ini terus dibawah kepimpinan penzalim dan penjenayah sejak zaman Tun Dr Mahathir lagi.

ISA dan Akta Hasutan digunakan sewenang-wenang untuk mendiamkan rakyat yang bangkit menentang tanpa rasa malu kepada negara luar. Yang jelas pemerintah semakin rosak dan menghina rakyat dengan permainan politik yang jahat dan kotor. Harta rakyat semakin rakus diambil tanpa disedari oleh rakyat kecuali beberapa negeri di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat yang dapat menyekat aliran keluar duit rakyat tanpa rekod hasil kejahatan pemerintah BN. Penghinaan pemerintah ini perlu dihentikan dengan kadar segera supaya negara ini tidak hancur lebur sehingga menjadi negara Bosnia.