Thursday, October 23, 2008

BN TAK HABIS-HABIS CANANG PERKARA REMEH DARIPADA SELESAIKAN ISU PENTING

Penganalisis By : Ramjit

Oleh Noor Hayati Muda

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pemerhati politik berpendapat parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tak habis-habis mencanangkan isu remeh daripada perkara lebih penting seperti menangani politik wang, memilih pemimpin yang betul dan bekerja keras untuk meraih semula sokongan yang hilang terhadap gabungan itu dalam pilihan raya umum 8 Mac.Para penganalisis beranggapan adalah tidak penting, pada ketika ini, cadangan untuk menjadikan gabungan itu sebagai satu parti pelbagai kaum atau malahan menjalani penstrukturan semula.

Prof Dr Ahmad Atory Hussein dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata penstrukturan semula jawatan tertinggi dalam Dewan Tertinggi BN tidak akan membawa sebarang kesan signifikan dalam gabungan itu atau kepada rakyat amnya."Bagi saya ini semua perkara remeh. Saya faham mereka mahu mendapatkan kembali sokongan daripada kaum mereka sendiri tetapi saya tidak fikir ini akan memberi faedah kepada rakyat secara amnya."Lagipun, semua jawatan tinggi dalam BN hanya pada nama sahaja kerana semua keputusan dibuat berdasarkan persetujuan bersama tanpa mengira jawatan mereka dalam Dewan Tertinggi," kata pensyarah di Fakulti Pentadbiran Awam dan Undang-undang universiti itu.

Beliau berkata BN ditubuhkan berdasarkan persefahaman tanpa terikat dengan perlembagaan secara sah."Tidak penting siapa yang duduk di situ kerana kedudukan mereka dalam Dewan Tertinggi sebenarnya sama sahaja. Umno diberikan jawatan pengerusi dan timbalannya atas dasar persefahaman bahawa ia parti terbesar dan keadaan itu kekal sehingga hari ini," katanya.Dr Ahmad Atory berkata pemimpin BN sepatutnya menumpukan pada isu lebih penting iaitu memenangi semula keyakinan rakyat."Mereka sebenarnya perlu melihat kepada keadaan sebelum ini dan mengkaji situasi itu secara menyeluruh dan mencari punca kepada masalah itu, kemudian merumuskan idea yang bernas yang benar-benar membantu gabungan menarik semua pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Anda boleh mendapatkan semula sokongan anggota parti anda sendiri, tetapi yang pentingnya ialah rakyat," katanya.Kenyataan Dr Ahmad Atory itu merujuk kepada kegagalan BN untuk menawan semula Kelantan dan kekalahan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac.Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merujuk kepada permintaan MCA agar diwujudkan jawatan kedua bagi timbalan pengerusi BN untuk dipegang oleh parti itu, dan berkata melayani permintaan itu akan membuka pintu kepada parti komponen lain untuk membuat tuntutan yang sama."Di samping itu, saya berpendapat ada perkara lain yang lebih mendesak yang perlu ditangani oleh pemimpin BN, pembaharuan yang lebih penting seperti menangani politik wang, misalnya," katanya.

Beliau juga berkata pemimpin BN telah menyimpang daripada masalah sebenar."Setiap parti komponen, sama ada Umno, MCA, MIC atau malahan Gerakan, mempunyai masalah kepimpinan. Saya fikir mereka mesti selesaikan ini dulu sebelum bercakap mengenai membaharui struktur gabungan," kata pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu.Pendapat Dr Ahmad Nizamuddin turut dikongsi Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dari Universiti Tun Abdul Razak yang berkata apa yang patut diutamakan oleh parti komponen BN ialah memilih "pemimpin yang betul"."Saya berpendapat apa yang paling penting sekarang ialah untuk semua parti komponen memilih pemimpin yang betul. Kemudiannya, selepas itu mereka boleh membincangkan idea bagi pembaharuan," kata bekas Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan universiti itu.

Katanya adalah amat kritikal untuk memilih pemimpin yang mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang serta mempunyai rangkaian yang luas sama ada di dalam dan luar negara."Kita mempunyai banyak pemimpin cemerlang seperti dalam dunia korporat, dalam sektor perkhidmatan awam dan pendidikan. Oleh itu, pada pandangan saya, pemimpin politik juga perlu terdiri daripada kalangan yang terbaik," katanya.Berdasarkan keadaan semasa, daripada segi politik atau ekonomi, Dr Ibrahim mempunyai sebab kenapa amat penting untuk memilih pemimpin yang betul kerana pemimpin berkenaan perlu mencari jalan bukan sahaja untuk memperkukuhkan parti mereka tetapi juga BN serta mengemudi negara dalam menghadapi krisis ekonomi global sekarang.

Pada masa yang sama, mereka perlu memulihkan semula keyakinan pengundi jika BN mahu kekal berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.Oleh itu, Dr Ibrahim berkata adalah amat penting bagi pemimpin BN untuk mengenal pasti punca masalah itu yang telah menyebabkan gabungan itu berada dalam "kepanasan" sebelum ini.Katanya setiap cadangan bagi perubahan perlu dikaji dengan mendalam berdasarkan prinsip setiap parti komponen dan yang paling penting ialah mereka perlu menumpukan kepada kepentingan rakyat dan dalam masa yang sama memastikan negara kekal stabil."Pembaharuan mesti berdasarkan beberapa faktor, luaran dan dalaman. Ada yang sukakan perubahan secara radikal tetapi bagi saya usaha ini perlu dilakukan secara berterusan," katanya.

-- BERNAMA

No comments: