Wednesday, September 24, 2008

PENGHINAAN PEMERINTAH KEPADA RAKYAT

Semakin kuat pemerintah BN menunjukkan kuasanya semakin meluap perasaan marah rakyat kepada mereka. Isu rakyat semakin tidak dihiraukan oleh para pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya. Orang Melayu semakin tertekan dalam menjalani kehidupan, para kepimpinan UMNO terus bercakaran dan menjadi perasuah besar dalam mempertahankan jawatan masing-masing bagi kepentingan peribadi semata-mata. Muhyuddin telah memberikan pandangan kepada pihak atasan tentang beberapa perkara yang sebenarnya hanya sekelumit perasaan untuk merubah UMNO yang telah rosak, bagaikan anai-anai yang memakan kayu.

Kita lihat, semasa kenaikan harga minyak dunia yang lalu, para pemimpin UMNO sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak mendadak tanpa kajian yang rapi. Apabila harga setong minyak turun sehingga 96 dolar US, pemerintah menurunkan secara perlahan-lahan pula sedangkan permasalahan ekonomi negara dan rakyat khususnya semakin buruk akibat tindakan buruk mereka itu. Satu angka rasmi yang dikeluarkan hari ini, bahawa kadar inflasi telah melonjak ke paras 8.5 peratus pada bulan Ogos - yang tertinggi dalam tempoh 27 tahun - ekoran peningkatan harga makanan dan bahan api.

Kita lihat satu kes di wilayah persekutuan KL sebelum ini melalui Menteri Wilayah dan Datuk Bandar telah memberikan jaminan untuk membantu rakyat walaupun di dalam kawasan Parlimen yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, namun akhirnya pembohongan mereka terbongkar. Bukan sahaja enggan bekerjasama memberikan sebarang maklumat, bantuan kewangan juga tidak dihulurkan. Sehingga kini, semua ahli Parlimen Pakatan di Wilayah Persekutuan menggunakan dana sendiri dan bantuan orang ramai bagi menjalankan aktiviti bersama rakyat dalam kawasan masing-masing.

Penghinaan kepimpinan pemerintah kepada rakyat bertambah apabila berlaku pula pertukaran suka sama suka Pak Lah dan Najib dari portfolio masing-masing dalam Kementerian Kewangan dan Pertahanan. Seolah-olah, jawatan menteri ini bagaikan hak kepimpinan UMNO dan jelas bagaikan kepimpinan diktator dan hampir komunis. Pertukaran kepada seorang pemimpin yang jelas banyak masalah terutamanya dalam mendapatkan komisen RM500 juta dalam pembelian kapal selam dan keterlibatan pembunuhan kejam Altantunya, telah menghancurkan perasaan rakyat yang melihat negara ini terus dibawah kepimpinan penzalim dan penjenayah sejak zaman Tun Dr Mahathir lagi.

ISA dan Akta Hasutan digunakan sewenang-wenang untuk mendiamkan rakyat yang bangkit menentang tanpa rasa malu kepada negara luar. Yang jelas pemerintah semakin rosak dan menghina rakyat dengan permainan politik yang jahat dan kotor. Harta rakyat semakin rakus diambil tanpa disedari oleh rakyat kecuali beberapa negeri di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat yang dapat menyekat aliran keluar duit rakyat tanpa rekod hasil kejahatan pemerintah BN. Penghinaan pemerintah ini perlu dihentikan dengan kadar segera supaya negara ini tidak hancur lebur sehingga menjadi negara Bosnia.

No comments: