Sunday, August 31, 2008

USAHKAN RAKYAT, ANJING PUN BENCI UMNO DAN BN

Inilah kenyataan yang harus diterima oleh semua kepimpinan BN bahawa hampir 80 peratus rakyat menolak BN. Lihatlah keputusan pilihanraya kecil di Permatang Pauh bahawa rakyat telah memberikan isyarat tambahan yang lebih jelas berbanding pilihanraya umum sebelumnya yang tidak sampai lagi 6 bulan. Gambaran yang jelas di depan mata sendiri melihat anjing pun benci kepada BN apabila poster BN dan gambar Pak Lah di suatu simpang jalan utama di Permatang Pauh semasa kempen masih berjalan, kelihatan telah dikencing dan disalak oleh anjing berkenaan.

Sebenarnya semasa kempen pilihanraya sedang berjalan, banyak perkara-perkara jijik dan kotor telah digerakkan oleh UMNO dan BN. Bagaikan satu tindakan habis-habisan pihak mereka untuk menghalang kemaraan dan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kadang-kadang mendatangkan rasa hairan apabila dikatakan oleh mereka bahawa pilihanraya kecil ini tidak menjejaskan kekuatan BN malah sokongan semakin meningkat dari kalangan rakyat di kawasan berkenaan, namun kempen dan kekuatan mereka ditambah dari masa ke semasa seolah-olah pilihanraya ini seperti pilihanraya umum.

Kalau bahan-bahan kempen BN seperti edaran risalah, didapati terlalu menghina dan amat tidak "berperi kemanusiaan" pengisiannya berbanding edaran risalah kempen PR yang lebih akademik dan membuka minda. Ada pula dalam satu keadaan yang melampau sanggup mengeluarkan belanja membuat poster memfitnah menggunakan lambang Parti Keadilan untuk membangkitkan kemarahan pengundi Melayu. Dengan perkataan yang lebih mudahnya bahawa kempen BN banyak kepada serangan peribadi dan mencetuskan sifat perkauman yang tinggi tanpa memikirkan impaknya.

Sebab itu pemerintah BN mengerahkan seberapa ramai Polis terutama FRU dan para-para SB untuk dipergunakan jika ada keperluan mendesak. Dalam perjalanan ke Butterworth, memang kelihatan terdapat perkampungan Polis disediakan khas seolah-olah akan terjadi huru-hara. Pencacai-pencacai UMNO seperti PEKIDA dan Puteri UMNO begitu aktif sebenarnya cuba memcetuskan huru-hara tersebut namun kesabaran para-para pejuang Pakatan Rakyat dan penduduk setempat, yang dikagumi sejak awal lagi telah membuat segala persediaan yang rapi serta bermunajat kepada Allah setiap hari dalam menangani apa jua provokasi.

Tempias kempen BN yang amat jijik tersebut sampai sehingga ke negeri Perak dan Masjid Wilayah Persekutuan sehingga tertangkapnya dua exco Perak dari PKR yang ditahan atas kes yang sengaja diwujudkan dan sumpah laknat Saiful yang pada hakikatnya telah menghina sistem perundangan Syariah dan agama Islam yang maha suci ini tanpa rasa perasaan berdosa. Sesudah itu satu demi satu sumpah dari kalangan pimpinan UMNO yang kelihatan mempermain-mainkan kesucian dan ketinggian agama Islam ini. Oleh sebab itu, ANJING PUN DAH RASA BENCI TERHADAP UMNO DAN BN.

Wednesday, August 20, 2008

PERPADUAN BERDASARKAN PERLEMBAGAAN KE?

Berdasarkan kata-kata Datuk Seri Nazri Aziz dalam Parlimen hari ini yang menyatakan bahawa semua langkah-langkah pemerintah BN selama ini dalam menyatu padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini menggunakan pendekatan berdasarkan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Beliau kemudiannya secara menyindir terutamanya kepada wakil rakyat dari Pakatan Rakyat untuk membuktikan apakah kesilapan atau kesalahan pemerintah selama ini yang menyebabkan perpaduan kaum pada masa ini kelihatan agak renggang.

Kalau hendak diikutkan, pemerintah BN terdahulu memang berjaya menyatu padukan rakyat dengan sekukuhnya sehingga pemerintahan BN terus berjalan dengan baik, tetapi malangnya sejak kebelakangan ini iaitu kira-kira 20 tahun yang lalu, retak-retak kecil sudah mula nampak dan sekarang ini akibat kesalahan urus tadbir negara oleh pemerintah BN menyebabkan perpaduan kaum ini semakin lama semakin lemah sehingga membangkitkan semula rasa sensitif antara agama dan kaum. UMNO sendiri sebagai peneraju pemerintahan kelihatan semakin rosak akibat pemimpinnya yang hilang jatidiri orang Melayu dan Islam.

Kalau benar-benar pemerintah BN menghayati Perlembagaan, Malaysia ini memang sepanjang masa aman dan tidak porak peranda. Bercerita soal Melayu yang memang sudah termaktub, sepatutnya UMNO yang dikatakan pejuang Melayu mengangkat Melayu dengan bersungguh-sungguh sehingga orang Melayu berjaya dalam semua bidang serta mendominasi kekayaan negara, sehingga dikatakan orang Melayu tiada yang miskin tegar. Maknanya disini pendidikan anak-anak Melayu dibela dengan sehabis baik, bukan mengangkat dua tiga ekor Melayu yang rosak dan jahat sehingga menjahanamkan bangsa sendiri seperti sekarang.

Tentang Islam, kalau betul UMNO mempunyai perjuangan yang betul berdasarkan perlembagaan, sudah tentu agama Islam yang majoritinya dianuti oleh orang Melayu akan dihormati oleh semua kaum di Malaysia ini. Ini berlaku jika pemimpin UMNO menggunakan akal yang waras dan iman yang teguh dalam pemerintahan dan bernegara. Ini tidak, Islam itu hanya menjadi simbol sahaja dan hakikatnya ia tertekan serta tidak diberikan ruang yang luas untuk menyinari negara Malaysia. Sekurang-kurangnya biarlah 5% sahaja pemimpin UMNO yang rasuah, bunuh-membunuh, memfitnah, gejala seks, jatuh menjatuh dan seumpama dengannya yang diketahui boleh merosakkan manusia.

Kalau betul nak menyatu padukan rakyat Malaysia ikut perlembagaan, Bahasa Malaysia sepatutnya diangkat setinggi-tingginya sampai ke Planet Pluto dimana penggunaan sehingga mencapai satu tahap lebih penguasaannya dalam dunia daripada bahasa Inggeris, Perancis dan Jepun. Apa yang kelihatan, pemimpin Melayu dalam UMNO sendiri tidak yakin Bahasa Malaysia sehingga bahasa Inggeris pula yang mengambil alih kepenggunaannya dalam pembelajaran Sains dan Matematik. Ucapan-ucapan pemimpin Melayu tidak menggunakan bahasa Malaysia dengan baik malah bahasa Inggeris juga menjadi pilihan, maknanya bahasa Malaysia ini haprak dan hina jika digunakan oleh kalangan pemerintah BN.

Jika benar hendak ikut perlembagaan, kenapa ada pula sekolah-sekolah Tamil dan Cina yang bahasa pengantar utamanya bahasa ibunda masing-masing sepertimana yang dibangkitkan oleh Datuk Azmi Khalid, Padang Besar dalam sesi soal jawab Parlimen itu. Sepatutnya sekolah-sekolah kebangsaan sahaja yang ada, bahasa ibunda baiklah diusahakan sendiri oleh kaum masing-masing. Jika tidak, baik buka semua sekolah ikut bangsa masing-masing. Inilah masalah dasar pemerintahan BN yang sebenarnya jauh daripada semangat Perlembagaan itu sendiri sehingga rakyat kita masih lagi curiga-mencurigai antara satu sama lain.

Monday, August 18, 2008

UMNO MEMANG DAH ROSAK, APA LAGI?

Rakyat semua perlu lebih sedar sekarang ini kerana UMNO sekarang ini semakin lama telah menunjukkan kerosakan yang amat besar dan sukar untuk dibentuk kembali kepada yang asal. Inilah masalahnya teras perjuangan dan kepimpinannya tidak berlandaskan sekurang-kurangnya dengan iman dan takwa. Tidak usahlah nak berbincang dengan lebih jauh, kalau dilihat kepada kepimpinan-kepimpinan besar mereka, boleh dikatakan hampir 80 peratus mempunyai masalah daripada sebesar-besar kejahatan sehingga sekecil-kecilnya yang makan duit parti. Mereka pula saling lindung-melindungi bagi meneruskan usaha rosak mereka itu tanpa pengetahuan rakyat.

Tiap kali ada pemilihan UMNO ada sahaja perbalahan antara mereka ini. Ini semua berpunca untuk mendapatkan kuasa dan kuasa itu pula yang akan memudahkan mereka mencari duit, tidak kiralah samada halal atau tidak, itu belakang kira. Beberapa kawasan UMNO begitu bergelora sehingga bergaduh sana sini tidak tentu pasal hanya kerana soal jawatan dalam parti, tidak kira peringkat cawangan atau bahagian. Ada mesyuarat UMNO, dimana pemilihan melantik jawatankuasa sementara hanya kerana pemberontakan ahli-ahli akar umbi atau kumpulan lain yang mengancam keselamatan, memaksa AJK terbabit membuat repot Polis.

Dalam satu laporan akhbar, di Cawangan Pantai Pandak, Chendering, Terengganu, 50 ahli UMNO di kawasan berkenaan membuat bantahan terhadap Ketua Bahagian kerana dikatakan tidak profesional dan mengikut prosedur apabila bermesyuarat tanpa menjemput ahli dan pengerusi tetap. Ada pula yang menipu, dimana kedatangan mesyuarat diambil dari rumah ke rumah sahaja. Dalam laporan lain, di Kubang Kerian, Ketua Cawangan tidak dimaklumkan tentang adanya mesyuarat yang telah dijalankan di cawangan sendiri. Soal-soal sabotaj memang biasa berlaku dan kalau hendak disenaraikan kena buat satu buku khas.

Soal rasuah amat teruk dalam pemilihan sehingga memaksa ibu pejabat UMNO berhungan rapat dengan BPR supaya pemilihan seluruh negara berjalan dengan baik. BPR sendiri mengakui dan mengesahkan bahawa ada menerima beberapa laporan kes rasuah dalam pemilihan cawangan dan bahagian UMNO. Satu berita dari UMNO Seremban, ketuanya telah ditahan oleh BPR kerana disyaki terbabit dengan sogokan wang untuk mengundi pada mesyuarat cawangan. Seorang lagi Ketua Pemuda UMNO cawangan di Selangor juga dikehendaki memberikan keterangan kepada BPR berhubung dakwaan amalan rasuah pada mesyuarat cawangan.

Saturday, August 16, 2008

SAIFUL BUAT KERJA GILA

Akhirnya selepas beberapa lama, Saiful yang mendakwa dirinya diliwat, muncul untuk bersumpah yang kononnya dengan cara Islam. Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan Mohd Saiful yang membuat sumpah laknat berkenaan bahawa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam sebagai tindakan bodoh dan tidak mengikut syariat Islam. Ini kerana katanya, cara Mohd Saiful memegang al-Quran ketika lafaz sumpah seperti orang Kristian memegang kitab Bible. Beliau juga mendakwa tindakan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri yang meminta Anwar turut bersumpah sebagai orang agama yang tidak tahu secara mendalam mengenai agama Islam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam. Perbuatan memegang atau menjunjung al-Quran itu sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka. Tegasnya, Islam hanya menerima sumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi.Pas menyatakan dengan tegas bahawa Anwar tidak bersalah selagi belum dibuktikan demikian oleh mahkamah dan adalah tidak wajar masyarakat menghukum Anwar berdasarkan tindakan Mohd Saiful yang `kebetulan’ dibuat sehari sebelum proses penamaan calon Parlimen Permatang Pauh berlangsung.

Saiful secara terbuka menegaskan dalam sumpahnya bahawa beliau tidak rela diliwat dan diliwat secara paksa, sedangkan di dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu dakwaan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful secara sukarela. Justeru dalam kes ini, yang mana satu terpakai, suka-sama-suka ataupun secara paksa? Saiful, ketika melakukan sumpah laknat tersebut beberapa kali melakukan kesilapan, antaranya ialah ketika menyebut kalimah ‘Watallahi, dan juga tersasul menyebut tarikh 26 hb Ogos 2008 sebagai waktu beliau diliwat oleh DSAI.

Di dalam Syariat Islam, perlakuan sumpah tidak disyaratkan untuk memegang atau menjunjung Al-Qur’an. Tidak ada nas yang menyatakan demikian. Tiada juga disebutkan di dalam Islam bahawa sumpah perlu dilakukan di dalam Masjid. Bahkan dalam undang-undang Islam yang melibatkan perkara lafaz seperti Ila’, Zihar, Qadzaf dan Li’an, lafaz perlu dilakukan di hadapan hakim dan disaksikan oleh orang ramai. Daripada 4 perkara tersebut iaitu Ila’. Zihar, Qadzah dan Li’an, hanya hukum Ila’ dan Li’an sahaja yang melibatkan lafaz sumpah. Sepatutnya Saiful tidak perlu bersumpah tanpa bimbingan ulama' muktabar kerana dibimbangi, BALA ALLAH yang akan diterima oleh semua umat Islam di Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din kepada Harakahdaily di Muktamar Tahunan PAS kali ke-54, "Apa yang berlaku dalam konteks Saiful Bukhari bersumpah memperlihatkan keganjilan, bilamana sepatutnya yang bersumpah adalah pihak yang kena tuduh, tetapi apa yang berlaku adalah pihak yang menuduh," katanya. Tambahnya lagi, "Mendengar Saiful memohon kepada Allah melaknatinya beserta keluarga dan keturunannya tanpa menyebutkan berapa lama seolah-olah sampai ke hari kiamat, mana ada sumpah yang meminta Allah melaknati keturunan?".

Sepatutnya kes ini tidak memerlukan apa jua sumpah, kerana Anwar telah membawa kes ini ke Mahkamah Syariah di bawah peruntukan kes liwat dan zina yang merujuk kepada undang- undang qazaf. Rujukan kepada mahkamah syariah mengikut Akta 121 (1A) perlembagaan persekutuan iaitu kes zina dan liwat. Menurut Setiausaha Agung, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Sdra Musa Awang, sepatutnya Saiful mengemukakan segala dakwaan atau keterangan di mahkamah dan bukan di tempat awam serta disiarkan media dimana seolah-olah tidak menghormati dan mencabar kewibawaan institusi mahkamah.

Thursday, August 14, 2008

UNTUK KEMPEN PILIHANRAYA PUN DAH BAZIR

Sepatutnya rakyat Malaysia yang lebih bermaklumat dan cerdik pandai masakini berbanding dahulu, telah dapat membaca dan menilai bagaimana pemerintah UMNO/BN sekarang ini semakin lama semakin teruk dalam menjalankan kerja-kerja politik mereka bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk perut syaitan mereka sahaja. Ini kerana terdedahnya kes penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan Umno untuk membayar sebanyak RM218 juta bagi bahan kempen pilihan raya umum 2004. Lim Guan Eng menyatakan bahawa ia melebihi dua kali ganda had perbelanjaan pilihan raya umum yang dibenarkan.

Dalam satu kenyataannya yang dipetik oleh Malaysiakini, ketua menteri Pulau Pinang itu berkata had perbelanjaan yang dibenarkan ialah RM94.3 juta, iaitu had maksimum RM200 ribu bagi setiap kerusi parlimen dan RM100 ribu setiap kerusi negeri. Mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, calon setiap kerusi Parlimen dan kerusi negeri tidak boleh berbelanja melebihi had yang ditetapkan itu. Lim mengulas penghakiman berkenaan, yang mengarahkan Umno membayar tuntutan lebih RM218 juta dari Elegant Advisory Sdn Bhd berhubung penyediaan bahan kempen pilihan raya umum Mac 2004 itu.

Kelihatan UMNO cuba mengelak untuk membayar hutang tersebut kerana menurut Bendahari UMNO, hutang tersebut sepatutnya di bayar oleh BN. Tapi lojik ke?, sudah tentu BN bukanlah pertubuhan yang berdaftar. Alasan mereka ialah, bahan-bahan yang dicetak untuk berkempen tersebut adalah bahan-bahan yang berlambang dacing, bukannya berlambangkan keris. Inilah gaya putar belit lanun-lanun UMNO yang berhutang kemudian tidak pula mahu membayar hutang. Yang bertambah jelas, UMNO tiada mempunyai wang lagi kerana sibuk diperhabiskan dengan joli katak mereka semasa pilihanraya lalu.