Tuesday, September 23, 2008

TUKAR KERAJAAN HALANG KEZALIMAN BN

Semakin lama semakin menjadi-jadi pula pemerintah menggunakan kezaliman demi kezaliman walaupun sekian lama BN menggunakannya. Bagaikan tiada pihak yang dapat menghalang kejahatan dan kezaliman mereka dalam menindas rakyat. Apakah negara ini seperti negara komunis atau pemerintah BN ini adalah penjajah terhormat yang mencengkam rakyat hasil didikan selama 400 tahun oleh para penjajah tanah Melayu dari sejak penaklukan Portugis?

Kesedihan bagi kami semua rakyat Malaysia apabila ISA masih terus dan berterusan digunakan oleh pemerintah dalam menghalang kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman. ISA sepatutnya hanya digunakan kepada para pengganas, lanun atau mafia yang sukar dibenteras melalui undang-undang sepertimana penguatkuasaannya pada awal penubuhannya. Namun yang diISAkan hanyalah rakyat yang mengkritik atau yang menegur pemerintah tanpa bersenjata yang biasanya diterima oleh mereka yang bersangkutan secara langsung atau tidak dengan pembangkang.

Undang-undang kuku besi digunakan sewenang-wenangnya manakala isu perkauman sering digunakan untuk melaga-lagakan rakyat yang berbilang kaum. Inilah yang dikatakan penindasan ke atas manusia oleh manusia. Penggunaan kekerasan secara terhormat yang berterusan telah menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan memburukkan lagi suasana politik semasa. Menurut kenyataan media Pakatan Rakyat, bahawa untuk tahun 2008 sahaja lebih daripada RM125 billion telah ditarik keluar oleh para pelabur yang semakin benci dengan sebuah kerajaan yang gagal menjamin kebebasan rakyat secara demokrasi, badan kehakiman yang baik dan penguatkuasaan undang-undang secara adil.

Dalam keadaan penderitaan rakyat menghadapi kenaikan bahan bakar dan harga barang keperluan, pemerintah sudah tidak menghiraukan masalah ini. Permainan harga bahan bakar seperti menaikkan sesuka hati kemudian menurunkan sedikit demi sedikit berbanding harga pasaran semasa, benar-benar menzalimi rakyat yang tidak tertanggung lagi. Dikatakan sumber kewangan kerajaan agak terhad sebelum ini, namun penyelewengan harta rakyat terus berleluasa dan contoh yang amat mudah ialah kelulusan kabinet dalam soal pembelian helikopter untuk PDRM yang jelas untuk kroni mereka sahaja sedangkan rakyat terus tertekan.

No comments: