Monday, August 4, 2008

MASALAH NEGARA BANYAK, ANWAR PULA JADI SASARAN

Kadang-kadang amat menghairankan apabila melihat telatah ahli-ahli politik yang datang terutamanya daripada UMNO memperkatakan hal Anwar daripada soal liwat hingga beliau hendak bertanding semula di Permatang Pauh. Hendak dikatakan orang yang bodoh, tidak pula kelihatan begitu kerana semua berpendidikan baik, ialah sehingga ke universitilah katakan. Sudah tentu difahami bahawa orang yang cerdik pandai akan bertindak atau berkata-kata dengan penuh berhemah dan masuk akal.

Soal liwat ini rasanya sangat-sangat memalukan negara Malaysia kerana kes ini amat terbukti terdapat unsur-unsur memfitnah dan menjatuhkan maruah saudara Anwar. Soal laporan Polis terhadap Anwar yang tidak diserahkan salinannya kepada yang dituduh amat menghairankan kerana semua sudah maklum bahawa laporan berkenaan adalah dokumen awam bukan sulit macam kes-kes pak menteri yang zalim lagi bongkak sejak 10 tahun lalu tersimpan rapi tanpa membolehkan rakyat membawa kes-kes mereka ke muka pengadilan.

Pak Syed Hamid Albar yang sebelumnya memperkatakan isu liwat ini sangat-sangat menghina saudara Anwar dengan kata-kata sinis dan gelak ketawa seolah-olah dia melihat isu ini main-main. Ini isu nasional dan amat memalukan negara kerana 10 tahun lalu kes yang sama terhadap Anwar telah ditolak oleh Mahkamah setelah puas Anwar meringkuk dalam penjara. Lagi pula kepimpinan penguasa dan penguatkuasa undang-undang yang sama terlibat dalam kes liwat ini, memanglah rakyat curiga yang amat sangat.

Mana kes VK Lingam dengan isu "CORRECT, CORRECT, CORRECT" tu yang senyap tanpa khabar berita? Pulau Batu Putih sudah terlepas, ini adalah kecuaian kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan BN dan rakyat tidak akan maafkan sampai kiamat sama sepertimana PAS yang tidak akan bekerjasama dengan UMNO sampai bila-bila. Isu Anwar ini adalah kecil sahaja, yang lebih besar adalah soal minyak, harta kerajaan yang diselewengkan, anak-anak Pak Lah yang macam penyamun dan banyak lagi isu kena segera dilenyapkan untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang dengan sebenar-benarnya.

Monday, July 28, 2008

MUZAKARAH SATU MANIPULASI

Sebelum ini diperkatakan bahawa UMNO dan BN selalu memanipulasi isu dalam negara terutama terhadap pembangkang atau para penentang dikalangan mereka. Sejak zaman kepimpinan Mahathir, soal manipulasi amat-amat berleluasa diamalkan sehingga mereka sudah menjadi kesedapan dan seronok sehingga kelihatan sama seperti para mat-mat gian yang memang sentiasa gian sekian lama menghisap dadah atau menyuntik dadah di bawah jambatan.

Sebab itu PAS sebagai satu wadah perjuangan dakwah Islam kepada semua, cuba mencari jalan demi jalan untuk memperbetulkan pegangan aqidah UMNO yang telah rosak akibat jauhnya perjuangan daripada perjuangan melalui IMAN dan ISLAM itu. UMNO walaupun kelihatan kepimpinan semuanya dikalangan orang Islam namun segala tindak-tanduk dan perilaku mereka tidak menggambarkan langsung pengamalan Islam sebenar atau sekurang-kurangnya pengamalan adab orang Melayu jati yang bersopan santun dan bertolak ansur.

Soal muzakarah atau muqabalah tidak menjadi persoalan, yang patut diketahui rakyat bahawa PAS sendiri telah lama ingin duduk berbincang dengan UMNO namun mereka hanya pandang sebelah mata sahaja. Al-maklum sajalah, UMNO ini begitu kuat hampir 50 tahun di Malaysia ini, dan boleh dikatakan antara parti orang Melayu yang didukungi amat kuat dengan 3 juta keahlian tanpa tentangan yang kuat dari kalangan rakyat golongan atasan maupun bawahan. PAS langsung tidak dapat menggugat kerana dianggap parti politik kecil-kecilan.

Tapi apabila kelihatan rakyat mula bangkit secara berskala besar sehingga BN hampir menghadapi kekalahan besar , mulalah UMNO sebagai pemimpin BN, gelabah tidak tentu arah seperti orang yang meroyan ataupun gila talak. Isu perkauman dibesar-besarkan dan cuba digunakan agar rakyat huru-hara dan bergaduh sesama kaum sepertimana mereka telah lakukan sebelum 13 Mei 1969 dulu. Mereka terlupa agaknya, rakyat Malaysia semua dah cerdik pandai belaka dan tidak mudah ditipu daya. Siapa nak mempertahankan Tuan Melayu yang penuh dengan KORUPSI dan PENZALIM yang amat besar dikalangan pimpinan UMNO??

Sekarang barulah UMNO nampak PAS sebab sokongan orang Melayu telah beralih arah kepada perjuangan Islam dan tidak bersifat perkauman. Dari cakap-cakap orang kuat mereka dikalangan UMNO seolah-olah merekalah yang kuat ideanya untuk bermuzakarah sedangkan hakikatnya semua orang tahu. Tak payahnya hendak kempen ketuanan Melayu sedangkan orang Melayu seperti Anwar dan mereka-mereka dalam tahanan ISA yang majoritinya Melayu ditekan habis-habisan demi kepentingan politik mereka.

Pak Lah dan rakan-rakan UMNO semua, barulah sibuk hendak membuka ruang kononnya tanda ingin penyatuan Melayu dan Islam. Ramailah puak-puak UMNO yang menyatakan kesediaan untuk berkongsi kuasalah dan sebagainya tanda IKHLAS yang akan MAKAN ORANG kemudian hari nanti. Ini disebabkan, UMNO sudah lama terbiasa dengan MANIPULASI yang akhirnya akan menguntungkan mereka.

Sunday, July 20, 2008

MANIPULASI KERJA BN DAN UMNO SEKIAN LAMA

Kelmarin saudara Anwar telah membangkitkan isu manipulasi DNA jika diberikan sampel kepada pihak hospital. Soal manipulasi ini sebenarnya berkait rapat dengan pelbagai perkara politik yang dijunjung oleh BN sejak sebelum merdeka dan selepas merdeka. Perjuangan kuat para pejuang sebenar kemerdekaan telah dimanipulasi oleh UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abd Rahman dengan baik sekali sehingga tidak kelihatan para-para pejuang tersebut. Kelihatan Tunku lah yang membawa usaha kemerdekaan sedangkan hakikat sebenarnya tidaklah begitu.

Manipulasi isu ekonomi juga digerakkan oleh UMNO sehingga sejarah hitam tercatat kerana pergaduhan sesama rakyat antara kaum Cina dan Melayu sehingga Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Kelihatan pada ketika itu usaha untuk seimbangkan jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera menampakkan hasil, namun semakin lama semakin rosak dasar berkenaan akibat salah guna kebaikan dasar tersebut oleh UMNO dan BN dimana yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin terpinggir.

UMNO lama sebenarnya sudah lama terkubur, kerana kepandaian Dr Mahathir ketika itu memanipulasikan isu tentangan kuat ahli-ahli UMNO terhadap beliau sehingga UMNO asal diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada tahun 1988. Akhirnya tertubuhlah UMNO Baru pimpinan Dr Mahathir yang mempunyai dasar perjuangan yang baru iaitu seperti memperlihatkan perjuangan KEKAYAAN UNTUK DIRI SENDIRI serta KELUARGA DAN MAKAN DUIT RAKYAT. Makan punya makan, biar sampai kenyang, rakyat melarat jangan dipedulikan, yang penting nampak Melayu sudah kaya, kaya dengan pengkhianat bangsa sendiri.

Friday, July 18, 2008

ISU DALAMAN UMNO

Dalam kesibukan rakyat yang prihatin memperkatakan isu debat dan tangkapan Anwar secara kasar, isu dalaman UMNO yang bergolak tidak dapat disembunyikan lagi dengan pelbagai perkara yang diketahui umum. Beberapa perkara perlu diambil perhatian yang serius tentang apa yang diperkatakan oleh kedua-dua bekas tokoh UMNO yang veteran seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Sanusi Junid dalam membetulkan UMNO ke landasan perjuangan yang sebenar.

Pak Lah cuba mengurangkan kehangatan dalam UMNO dengan membuat jaminan secara rasmi untuk peralihan kuasa PM kepada orang nombor 2 pada tahun 2010. Walaubagaimanapun bukan semua ahli Majlis Tertinggi UMNO bersetuju dengan perkara ini kerana atas kesedaran bahawa parti ini perlu juga pemilihan dari peringkat akar-umbi bukan seperti mewariskan tanah Felda kepada anak peneroka. Muhyuddin adalah antara yang menentang kepada isu ini, manakala Tengku Razaleigh telah mengkritik secara terbuka.

Menurut Sanusi, usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri sepertimana yang dilakukan oleh ketua pembangkang di Parlimen hendaklah dibawa oleh seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, ke dalam parti itu terhadap Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tahun 2004 hingga tahun 2008 katanya, Pak Lah telah berjaya merosakkan imejnya dari seorang PM yang paling popular dalam sejarah Malaysia kepada PM yang paling dibenci oleh rakyat kerana didakwa lebih bergantung nasihat kepada anak, menantu dan rakan-rakan menantunya.

Tun Mahathir pula mengulas, bahawa Muhyiddin mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno sekiranya pemilihan bagi jawatan itu dibuat secara terbuka. Beliau berpendapat, kini wujud tanggapan umum yang melihat Dato' Seri Najib Razak sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak pernah mempunyai pendirian sendiri. "Dia (Najib) hanya cakap, selalu cakap, saya sokong, saya sokong, saya terharu. Tetapi dia tidak pernah sebut apa-apa mengenai hasrat rakyat terhadapnya atau bagaimana dia menghormati mereka," kata Dr Mahathir selepas merasmikan Pejabat Pentadbiran dan Biro Pengaduan Awam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Kuala Lumpur.

Tengku Razaleigh yang kelihatan lebih hampir dalam membaiki dasar perjuangan UMNO sekarang ini yang dipimpin oleh Pak Lah, telah menyatakan bahawa harga minyak boleh diturunkan, selepas beberapa hari Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek mempertahankan Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam keputusan menaikan harga minyak secara mendadak. Beliau merupakan antara mereka yang mahukan perubahan kepimpinan parti sejak pilihan raya umum lalu dan menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden kali ini.

Thursday, July 17, 2008

TINDAKAN TIDAK BERTAMADUN MEROSAKKAN IMEJ POLIS

Dalam menangani isu Anwar ini, kelihatan pemerintah BN memperlakukan tindakan yang tidak bertamadun dan tiada peri kemanusiaan langsung. Lihat sebelum ini seorang tahanan ISA tertahan amat lama untuk keluar dari penjara di Kamunting, menziarahi anaknya yang sakit kuat sebelum meninggal tanpa ayah disisi akibat tindakan tidak bertamadun pihak Polis dan Mahkamah. Jika Anwar yang boleh dikatakan seorang yang terkenal serta pejuang politik dan dikelilingi oleh penyokong pun tidak dihormati haknya inikan pula rakyat biasa yang tiada siapa pun yang kenal.

Penangkapan Anwar oleh sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket dari Bahagian Siasatan Khas, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya kelihatan bertindak kasar seolah-olah beliau seorang penjenayah besar. Beliau yang dibawa oleh kereta polis bercermin gelap meluru ke IPK Kuala Lumpur dan tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari (masa sebelum tamat tempoh waran tangkapan jam 2.00 petang) dengan dikawal oleh konvoi 15 buah kenderaan.

Menurut tokoh utama DAP Lim Kit Siang, katanya "Polis menerima satu 'mata lebam' yang dicipta mereka sendiri dengan cara penangkapan Anwar yang sangat provokatif, tidak profesional dan tidak boleh dipertahankan menggunakan komando bertopeng pada 12.55 tengah hari - sewaktu bekas timbalan perdana menteri itu telah berjanji akan melapor diri kepada polis jam 2 petang,". Menurutnya lagi bahawa tindakan polis menangkap Anwar sedemikian mencemarkan imej pasukan tersebut.

Kenyataan bodoh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Bakri Mohd Zinin, bahawa Anwar tidak ditangkap di dalam rumahnya kerana ia boleh menimbulkan kekecohan. Beliau juga berkata bahawa polis bimbang Anwar tidak hadir di IPK Kuala Lumpur pada jam 2 petang dan oleh itu memutuskan untuk menahan beliau kerana kami dimaklumkan bah awa selepas Anwar meninggalkan ibupejabat BPR di Putrajaya, beliau telah mengubah laluannya dan menuju ke rumahnya di (Bukit) Segambut.

Peguam Anwar, N Sankara Nair, memberitahu beberapa minit sebelum beliau ditahan, pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira telah menelefon beliau bertanyakan sama ada akan datang atau tidak, dan dijawab akan berada di sana tepat jam 2 petang. Menurutnya jika Anwar tidak hadir pada tepat jam 2 petang itu, maka mestilah difahami mengapa beliau perlu ditahan. Pihak polis telah melanggar kepercayaan dan keyakinan Sankara dan anak guamnya sebelum ini terhadap mereka. Ketika penahanan secara kepungan, mereka tidak menunjukkan sebarang waran tangkap dan terus dibawa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda yang bercermin gelap.

Selepas Anwar memberi keterangan kepada Polis selama 6 jam, 10 buah kenderaan Polis mengiringi Anwar ke Hospital Kuala Lumpur dari ibu pejabat Polis itu pada jam 8.35 malam dan sampai kira-kira 10 minit kemudian dan dimasukkan ke wad diraja dengan kawalan kira-kira 40 anggota polis untuk rawatan biasa. Menurut Anwar selepas dibebaskan dengan ikat jamin, beliau menyatakan telah ditelanjangkan sewaktu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan seluruh badan beliau diperiksa, termasuk bahagian sulitnya.

Anwar juga menyatakan bahawa beliau enggan memberikan sampel darahnya untuk ujian DNA sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut atas nasihat peguam dan doktor. Beliau memberikan beberapa alasan atas nasihat peguam dan pakar-pakar DNA dalam dan luar negara. Pertama, simpanan DNA memang ada dalam tangan polis. Kedua, yang dituduh dalam simpanan polis. Beliau mempersoalkan apa keperluan DNA daripadanya sedangkan simpanan DNA beliau yang diambil secara paksa pada 1999 masih ada dalam simpanan polis oleh HKL atas arahan Musa Hassan, waktu itu seorang pegawai penyiasat kesnya.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, yang juga ahli Parlimen Bachok di Parlimen, berkata parti ini mengambil pendirian menolak sebarang tuduhan yang berbentuk andaian dan spekulasi. Begitu juga dengan penggunaan DNA yang pada bila-bila masa boleh dimanipulasi, diada-adakan dan ditokok tambah bagi menafikan keadilan yang sebenar. Anwar berkata pihak polis seolah-olah menunjukkan kesungguhan yang luar biasa menjalankan siasatan terhadap dirinya berkaitan laporan polis yang dibuat bekas pembantu beliau Mohamad Saiful Bukhari Azlan tetapi tidak dalam kes Altantuya.

Berikut surat terbuka sokongan tokoh-tokoh Islam seluruh dunia kepada Anwar :

http://www.islamicamagazine.com/general/Open-Letter-Concerning-Anwar-Ibrahim.html