Tuesday, December 9, 2008

STRUKTUR TANAH DI KAWASAN BUKIT ANTARABANGSA PERLU DIUJI: PAKAR

70 cerun berisiko runtuh ( dari Berita Harian)


KUALA LUMPUR: Kawasan sekitar Bukit Antarabangsa dekat sini yang mengalami kejadian tanah runtuh Sabtu lalu, dikenal pasti mempunyai lebih 70 cerun yang perlu dikaji ketahanannya bagi memastikan keselamatan kira-kira 5,000 penduduk di situ.

Kajian itu penting kerana kawasan bukit berkenaan dan sekitarnya terbentuk daripada gabungan struktur berpasir dan keladak yang tinggi, manakala kandungan tanah liatnya pula rendah, sekali gus mudah runtuh jika dilanda hujan berpanjangan.

Pakar kaji bumi berpendapat, kestabilan struktur setiap cerun di kawasan itu perlu dipastikan bagi membolehkan risiko keruntuhan tanah dan langkah pencegahan yang berkesan dapat diambil untuk menjamin keselamatan penempatan terbabit.

Pengarah Pusat Penyelidikan Hakisan Tanah Negara (Nasec) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Roslan Zainal Abidin, berkata tanah runtuh Sabtu lalu berlaku kerana hujan berlarutan lima hari dengan jumlah taburan lebih 70 milimeter (mm).

"Jika kita imbas kembali tragedi Highland Towers yang runtuh di kawasan berkenaan pada Disember 1993, jumlah hujan yang mengakibatkan pergerakan tanah sehingga meruntuhkan bangunan itu hanya 30 mm.

"Hakikatnya, kajian kebolehruntuhan tanah di kawasan sekitar Bukit Antarabangsa, termasuk Highland Towers dan Taman Hillview sudah membuktikan struktur tanah di ketiga-tiga kawasan terbabit berisiko tinggi.

"Bagaimanapun, penduduk masih boleh terus menetap di situ, asalkan kerajaan dan pemaju menstruktur semula seluruh kawasan terbabit dengan membahagikannya kepada beberapa zon mengikut tahap risiko.

"Penanaman pokok dan pembinaan tembok penahan saja sebenarnya tidak cukup untuk mencegah runtuhan tanah jika sistem saliran air bawah tanah di situ tidak diperbaiki secara sistematik," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pandangan Roslan dipersetujui Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (Lestari), Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, yang mencadangkan setiap daripada 70 cerun yang dikenal pasti itu dikaji secara berasingan.

"Pengurusan dan inventori cerun di kawasan Bukit Antarabangsa boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti kawasan yang terdedah kepada kejadian tanah runtuh untuk memberikan amaran awal kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di kawasan itu yang dihentikan selepas empat mangsa ditemui kelmarin, disambung semula malam semalam berikutan maklumat mungkin ada seorang lagi mangsa masih terperangkap.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang mengetuai SAR itu berkata, pihaknya mendapat laporan bahawa pembantu rumah mendiang doktor veterinar, N Yogeswari, 40, yang terkorban dalam kejadian itu, masih hilang.

"Berdasarkan maklumat itu, SAR kini ditumpukan di sekitar kawasan rumah nombor 1, Jalan Bukit Mewah untuk mencari mangsa, seorang warga Sri Lanka berusia 30-an yang sudah bekerja di situ sejak enam tahun lalu," katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan semalam terpaksa dihentikan dua kali selepas Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengesan berlaku pergerakan tanah yang besar sehingga boleh mengancam keselamatan pasukan SAR.

Dalam pada itu, kira-kira 3,000 penduduk kawasan berkenaan yang sebelum ini terputus hubungan menarik nafas lega apabila satu lagi laluan alternatif yang menghubungkan Taman Bukit Mewah ke Apartmen Impiana Selatan, berjaya dibina petang semalam.

Laluan alternatif sepanjang 300 meter itu dibuka pada jam 6.30 petang selepas 20 struktur khas yang dikenali sebagai 'Mobemat' berukuran 14.7 meter (m) panjang dan 4.2m lebar dipasang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada 1,500 penduduk yang terputus bekalan berkenaan sejak kejadian Sabtu lalu. Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Azman Mohd, berkata bekalan pulih jam 5.26 petang.

1 comment:

singamaraja said...

SOS

SIDANG DUN PERAK DI BAWAH POKOK